SEMENANJUNG Melayu mengunjur sejauh 1,355km dari Segenting Kra di Thailand sehingga ke titik penghujung selatan benua Asia di Tanjung Piai, Malaysia.
Sebagai penghadang semulajadi di antara Lautan India dan Laut China Selatan, banyak kerajaan Melayu lama yang muncul sepanjang Semenanjung ini.
Langkasuka, Srivijaya dan Melaka adalah antara kerajaan-kerajaan Melayu yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas struktur sosio-politik Semenanjung Melayu.
Selama berkurun lamanya, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu ini melangkaui wilayah-wilayah moden Semenanjung Malaysia sehinggalah perjanjian antara Siam dan Britain ditandatangani pada tahun 1909 tanpa mengambil kira kepentingan kesultanan-kesultanan Melayu yang wujud pada ketika itu.
Hubungan baik di antara Siam dan Britain bertukar parah apabila Siam memihak kepada Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Peperangan dahsyat ini berakhir pada tahun 1945 dengan akhirnya Britain menandatangani perjanjian dengan Siam untuk menamatkan status peperangan di antara Siam dan Britain pada tahun 1946.
Perjanjian ini juga dikenali sebagai Perjanjian Damai Anglo-Siam 1946.
Apakah yang akan berlaku sekiranya pihak British berkeras untuk menuntut Pattani dan Setul menerusi perjanjian damai ini?
Pattani dan Setul
Kesultanan Pattani pernah menjadi empayar Melayu gemilang pemilik wilayah yang sekarang ini merangkumi sebahagian daripada provinsi Setul (sekarang Satun), Trang, Yala, Pattani dan Narathiwat di Thailand.
Pemerintahan Siam ke atas Pattani telah diakui British pada tahun 1826 menerusi Perjanjian Burney dan seterusnya Perjanjian Anglo-Siam 1909.
Perjanjian 1909 ini direalisasikan menerusi usaha Edward Henry Strobel, penasihat hal-ehwal luar kerajaan Siam dan Ralph Paget, duta besar Britain ke Siam pada ketika itu.
Sewaktu perbincangan berkaitan terma Perjanjian 1909, Paget memaklumkan kepada Strobel bahawa pihak British bukan sahaja inginkan Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi juga wilayah-wilayah yang lain seperti Pattani, Perlis dan Setul kerana wilayah-wilayah ini memiliki penduduk majoriti Melayu-Muslim yang mempunyai persamaan budaya dan geografi sepertimana negeri-negeri Melayu di selatan Semenanjung.
Akan tetapi, Strobel memaklumkan kepada Paget bahawasanya Raja Chulalongkorn hanya sanggup menyerahkan negeri-negeri ‘yang di luar kawalannya’, dan ini tidak termasuk Setul dan Pattani.
Perkhabaran ini telah mengecewakan Paget. Bagi memastikan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi negeri-negeri lindungan British, Pattani dan Setul telah ‘dikorbankan’ dan kekal bersama Siam.
Tidak ada seorang pun raja-raja negeri-negeri Melayu ini dipanggil bersama untuk berbincang mengenai terma-terma perjanjian ini.
Perjanjian Damai Anglo-Siam 1946
Siam telah menjadi rakan sekutu Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, menjadikannya musuh Britain yang merupakan salah satu kuasa besar Bersekutu.
Siam dianggap telah kalah perang setelah pihak Axis mengakui kekalahan mereka kepada pihak Berikat pada tahun 1945.
Oleh itu, kerajaan Siam telah diminta untuk menandatangani Perjanjian Damai Anglo-Siam bagi memperbaiki hubungan diplomatik dengan United Kingdom pada tahun 1946 di Singapura.
Terma-terma perjanjian ini banyak memihak kepada Britain dan merugikan Siam.
Sebagai kuasa yang memenangi Perang Dunia Kedua, pihak Berikat telah menempati beberapa wilayah yang dahulunya dikuasai Jerman dan Jepun.
Sebagai contoh, pihak Berikat telah membahagikan Jerman kepada dua bahagian iaitu Jerman Barat yang ditadbir blok Barat dan Jerman Timur yang dikelolakan oleh Kesatuan Soviet.
Semenanjung Korea yang pernah diperintah Jepun juga telah dibahagikan kepada dua bahagian – utara ditadbir Kesatuan Soviet dan selatan di bawah pengaruh Amerika Syarikat.
Kedua-dua wilayah ini akhirnya merdeka sebagai negara Korea Utara dan Korea Selatan.
Sewaktu perbincangan terma-terma Perjanjian Anglo-Siam 1909, Paget kecewa kerana gagal untuk memujuk Siam untuk menyerahkan Pattani dan Setul kepada British.
Apakah yang akan berlaku sekiranya British berkeras dan secara tegas menuntut Pattani dan Setul sebagai sebahagian daripada terma Perjanjian Damai Anglo-Siam 1946?
Ini sekali gus akan menamatkan pemerintahan Siam yang beratus tahun lamanya di wilayah-wilayah ini yang akan terintegrasi ke dalam Empayar British.
Piagam Atlantik 1941, pernyataan yang dikeluarkan pada 14 Ogos 1941 telah menetapkan wawasan British dan Amerika setelah Perang Dunia Kedua berakhir.
Ia menghormati konsep ‘penentuan-sendiri’ yang bermaksud tiada wilayah yang boleh ditukarkan sekiranya ianya melanggar kehendak rakyat setempat.
Pengakhiran Perang Dunia Kedua juga telah menyaksikan permulaan proses dekolonisasi dunia terutamanya di Asia dan Afrika.
Undang-undang antarabangsa menetapkan prinsip utti possidetis juris yang bermaksud negara-negara yang baru merdeka perlu mewarisi sempadan yang telah ditetapkan oleh bekas penjajahnya.
Malaysia, sebagai contoh adalah negara pewaris British Malaya dan British Borneo manakala Indonesia mewarisi wilayah yang pernah dikuasai Belanda di Hindia Timur.
Sekiranya kedua-dua Pattani dan Setul dijadikan sebahagian dari British Malaya, wilayah-wilayah moden Semenanjung Malaysia pada hari ini akan melangkaui Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
Namun begitu, sekiranya Pattani dan Setul dijadikan tanah jajahan mahkota British (bukan sebahagian dari British Malaya), Pattani dan Setul mungkin akan merdeka sebagai negara yang berbeza mewarisi wilayah di selatan Thailand.
Kesimpulan
Rentetan sejarah ini mungkin boleh menjadi kenyataan sekiranya pihak British mengambil kesempatan di atas situasi lemah Siam dan secara berterusan menuntut Pattani dan Setul, terutamanya menerusi Perjanjian Damai Anglo-Siam 1946.
Namun begitu, ini tidak berlaku dan Pattani serta Setul, atau Satun kekal menjadi sebahagian dari Thailand pada hari ini.
Kelemahan pemerintah-pemerintah terdahulu telah menyebabkan penguasa asing berhasil melakar persempadanan di Dunia Melayu mengikut kehendak mereka tanpa mengambil kira hasrat penduduk setempat.
Mengambil ini sebagai pengajaran, Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat yang merdeka, perlu sentiasa melindungi keutuhan wilayah darat dan lautnya daripada pencerobohan dan penguasaan asing.
* Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) adalah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
Sun Oct 18 2020
Sekiranya kedua-dua Pattani dan Setul dijadikan sebahagian dari British Malaya, wilayah-wilayah moden Semenanjung Malaysia pada hari ini akan melangkaui Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis. - Reuters
Harga RON97, RON95 dan diesel kekal
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 di seluruh negara masing-masing kekal pada paras RM3.19 dan RM2.05 seliter bagi tempoh 12 hingga 18 Dis ini.
Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Dalam Talian 2024
RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.
Proses ukur tanah hak adat bumiputera di Sarawak berbaki 13 peratus
Proses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak kini hampir selesai, dengan hanya sekitar 13 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah yang dianggarkan masih belum disukat.
Warga emas besarkan anak OKU di rumah daif
Kerana kasih dan kerana sayang seorang ibu tunggal yang sudah mencecah usia 80 tahun terus cekal menjaga anak kurang upaya nya.
Sarawak tidak pinggir subjek BM, utamakan kelulusan
Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan kepentingan subjek Bahasa Melayu, malah mengutamakan kelulusan subjek tersebut sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi miliknya.
Sarawak sasar 609,000 pelancong Indonesia pada 2025
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyasarkan ketibaan 609,000 pelancong dari Indonesia ke Sarawak pada tahun depan, didorong oleh daya tarikan gabungan unik budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, dan perayaan yang ditawarkan.
Tenaga kerja berkemahiran perlu ambil kira penguasaan AI
Penyediaan 500 ribu tenaga kerja Sarawak berkemahiran pada masa depan perlu mengambil kira kemampuan mereka untuk menguasai teknologi AI atau kecerdasan buatan.
DAP Sabah diberi mandat kaji kedudukan dalam kerajaan negeri
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, dan mengambil tindakan selanjutnya susulan isu rasuah membabitkan pemimpin di Sabah.
Jangan terpedaya harga murah kenderaan mewah negara jiran
Rakyat Sabah dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran harga murah kenderaan mewah yang dipercayai kereta klon dari negara jiran Brunei Darussalam.
Jumlah mangsa banjir di PPS terus menurun di sebelah petang
Situasi banjir di semua negeri terlibat beransur pulih dengan jumlah mangsa menurun setakat 4 petang tadi.
Bagaimana jika Pattani jadi sebahagian daripada British Malaya?
Sekiranya kedua-dua Pattani dan Setul dijadikan sebahagian dari British Malaya, wilayah-wilayah moden Semenanjung Malaysia pada hari ini akan melangkaui Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
Segenting Kra: Mampukah Selat Melaka kekal jadi jalur laut ulung dunia?
Apa yang penting, sekiranya Terusan Thai ini menjadi terusan realiti, senario perkapalan di Asia Timur dan Asia Tenggara tidak akan lagi kekal sama seperti sekarang.