WASHINGTON: Banduan hukuman mati Amerika Syarikat, Christa Pike, buat pertama kali tampil membuat kenyataan umum selepas terselamat daripada percubaan pelaksanaan hukuman mati yang gagal pada September lalu.
Dalam kenyataannya, Pike, 50, berkata dia masih mengalami kesakitan fizikal dan emosi yang berterusan sejak kejadian itu.
“Sejak malam itu, tidak pernah ada saat saya tidak berasa sakit. Badan, tangan, lengan dan tekak saya masih sakit. Saya juga masih sukar bercakap,” katanya.
Pike dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung September selepas terselamat daripada dua suntikan maut pentobarbital yang menyebabkan keadaannya kritikal.
Pike kini kembali ditempatkan di penjara tempat dia menjalani hukuman sejak hampir 30 tahun lalu kerana membunuh Colleen Slemmer pada 1995.
Menurut peguamnya, Pike mengalami radang paru-paru selepas percubaan pelaksanaan hukuman itu, selain bengkak teruk pada lengan dan kesukaran menelan.
Pike dipercayai satu-satunya individu di Amerika Syarikat yang terselamat selepas menjalani prosedur hukuman mati melalui suntikan maut.
“Saya sedang pulih dan semakin kuat, tetapi pulih tidak bermakna saya benar-benar baik,” katanya.
Pike dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh Slemmer yang berusia 19 tahun bersama teman lelakinya ketika itu, Tadaryl Shipp.
Shipp tidak dijatuhi hukuman mati kerana belum mencapai usia dewasa dari segi perundangan ketika jenayah itu dilakukan dan masih menjalani hukuman penjara.
Kegagalan pelaksanaan hukuman mati terhadap Pike menarik perhatian meluas dan mencetuskan perdebatan mengenai penggunaan hukuman mati di Amerika Syarikat.
“Saya tidak pernah membayangkan kehidupan selepas malam itu. Saya amat kecewa dengan kecuaian yang menyebabkan begitu ramai pihak berada dalam keadaan yang sukar ini,” katanya.
Susulan insiden berkenaan, Gabenor Tennessee, Bill Lee, menggantung semua pelaksanaan hukuman mati di negeri itu sehingga akhir tahun dan mengarahkan siasatan bebas dijalankan bagi mengenal pasti punca kegagalan tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kemungkinan percubaan kedua untuk melaksanakan hukuman mati terhadap Pike, Lee berkata hukuman asal berkemungkinan kekal melainkan mahkamah memutuskan sebaliknya.
Jabatan Pemulihan Tennessee pula masih belum menjelaskan mengapa prosedur itu gagal, walaupun mempertahankan kaedah yang digunakan.
Sementara itu, ibu mangsa, May Martinez, yang menyaksikan sendiri percubaan pelaksanaan hukuman tersebut, menyifatkan insiden itu sebagai satu “kekecohan” dan berkata beliau masih menuntut keadilan untuk anaknya.
Pike merupakan wanita pertama yang dijadualkan menjalani hukuman mati di Tennessee dalam tempoh lebih 200 tahun.
Kes itu turut menghidupkan semula perdebatan mengenai pelaksanaan hukuman mati di Amerika Syarikat, dengan data Pusat Maklumat Hukuman Mati menunjukkan lebih satu pertiga pelaksanaan hukuman mati di negara itu pada 2022 berdepan masalah atau tidak berjalan seperti yang dirancang.