Skip to main content

Dunia

Iran tegaskan kawalan ke atas Selat Hormuz masih kekal

Pihak berkuasa Iran menegaskan semua kapal dan kapal tangki yang mahu melintasi Selat Hormuz perlu menyelaras pergerakan lebih awal dengan IRGC. - Foto REUTERS
Pihak berkuasa Iran menegaskan semua kapal dan kapal tangki yang mahu melintasi Selat Hormuz perlu menyelaras pergerakan lebih awal dengan IRGC. - Foto REUTERS

Advertisement

Advertisement

TEHRAN: Iran memberi isyarat jelas bahawa ia tidak akan melepaskan kawalan ke atas Selat Hormuz selepas beberapa insiden melibatkan kapal tangki minyak berlaku di laluan perkapalan strategik itu.

Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan empat insiden berasingan melibatkan kapal tangki minyak gergasi atau supertanker dilaporkan berlaku sepanjang hari di kawasan Selat Hormuz.

Menurut IRGC, dua daripada kapal tangki berkenaan disahkan terkena periuk api selepas menggunakan laluan yang didakwa tidak dibenarkan serta tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Iran.

Advertisement

Kedua-dua kapal itu dilaporkan membawa kira-kira dua juta tong minyak mentah setiap satu ketika insiden berlaku.

Dua lagi insiden turut dilaporkan berlaku di beberapa lokasi berbeza, termasuk di bahagian timur dan barat Selat Hormuz serta berhampiran laluan keluar perairan tersebut.

Advertisement

Sebuah lagi kapal tangki dilaporkan terkena periuk api ketika melalui laluan selatan yang turut disifatkan Iran sebagai tidak dibenarkan.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Iran menegaskan semua kapal dan kapal tangki yang mahu melintasi Selat Hormuz perlu menyelaras pergerakan lebih awal dengan IRGC serta pihak yang bertanggungjawab menguruskan laluan perairan tersebut.

Kenyataan itu dilihat sebagai mesej tegas kepada Amerika Syarikat bahawa Iran masih mempunyai kawalan terhadap Selat Hormuz walaupun Washington sebelum ini mendakwa laluan berkenaan kekal terbuka dan tidak menunjukkan kehadiran ketara Tentera Laut IRGC.

Tehran turut menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan siri insiden yang berlaku membuktikan pihaknya masih berupaya mengawal dan menguatkuasakan peraturan pelayaran di laluan strategik itu.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan terpenting dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Oman dan menjadi laluan utama eksport minyak dari negara-negara pengeluar di Asia Barat.

Sebarang gangguan di perairan itu berpotensi menjejaskan bekalan tenaga global serta meningkatkan ketegangan geopolitik di rantau berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement