Skip to main content

Dunia

Bangladesh, Turkiye kecam serangan Houthi ke atas Arab Saudi

A satellite image shows smoke rising from the Saudi Aramco oil depot, after what the Saudi-led coalition in Yemen said were attacks by Yemen's Iran-aligned Houthis, in Abha Bulk, Saudi Arabia, in this handout image obtained by Reuters on September 8, 2026. 2026 PLANET LABS PBC/Handout via REUTERS
Imej satelit menunjukkan kepulan asap menjulang dari depot minyak Saudi Aramco di Abha Bulk, Arab Saudi, susulan serangan yang didakwa dilakukan oleh Houthi, 8 Sept 2026. REUTERS
Advertisement

HYDERABAD: Bangladesh dan Turkiye pada Selasa menyertai kecaman antarabangsa terhadap beberapa serangan Houthi ke atas Arab Saudi.

“Bangladesh menegaskan semula pendirian yang menolak sekeras-kerasnya semua tindakan keganasan terhadap orang awam dan infrastruktur awam. 

"Bangladesh menyatakan solidariti penuh dengan kerajaan dan rakyat Arab Saudi,” menurut Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan.

Turkiye pula berkata serangan itu mengabaikan keselamatan orang awam, meningkatkan ketegangan serantau serta menjejaskan usaha diplomatik yang bertujuan menamatkan konflik di Yaman melalui penyelesaian politik berkekalan.

“Kami menggesa Houthi menghentikan tindakan agresif mereka serta-merta,” menurut Kementerian Luar Turkiye dalam satu kenyataan, sambil menegaskan sokongan negara itu terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi.

Menurut kerajaan Arab Saudi, serangan Houthi pada Selasa menyasarkan “aset awam dan ekonomi” di Abha, Khamis Mushait, Jazan dan Najran, menyebabkan 73 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak cedera.

Pakistan, Qatar, Mesir, Jordan, Kuwait dan Sudan adalah antara negara yang mengecam serangan ke atas beberapa kemudahan termasuk pemasangan tenaga.

“Serangan seperti ini mengancam nyawa orang awam yang tidak berdosa serta keamanan dan keselamatan serantau. 

"Kami menegaskan semula sokongan teguh terhadap kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi, serta mendoakan agar semua yang cedera segera sembuh,” kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menerusi hantaran di X.

Pakistan berkata negara itu “menyokong sepenuhnya hak sah Arab Saudi untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mempertahankan wilayahnya, melindungi rakyat dan penduduknya serta menjaga aset negara daripada sebarang ancaman,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement