KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini bagi prosiding reman sebelum dijangka menghadapi pertuduhan rasuah.
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dilaporkan berkata, Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Menurutnya, polis akan memohon perintah reman terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Abdul Azeez difahamkan dibawa ke mahkamah menerusi laluan dalaman bagi prosiding berkenaan, ketika petugas media sudah menunggu di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi.
Selepas prosiding itu, Abdul Azeez juga dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan yang akan dikemukakan terhadapnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan telah mendapat izin mendakwa seorang bekas pengerusi sebuah badan berkanun Persekutuan di mahkamah berkenaan, hari ini.
Anak Abdul Azeez, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez serta Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut kelihatan di lokasi bersama beberapa penyokong manakala Abdul Azeez tidak kelihatan kerana dipercayai dibawa masuk melalui laluan dalaman mahkamah.
Malam tadi, Mohamed Khairul Azman menerusi satu hantaran di media sosial mengesahkan penahanan bapanya.
Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos lalu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Siasatan berkenaan dibuat susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji.