Skip to main content

Dunia

Tiga rakyat Malaysia belum dikesan di Gyirong

Chinese People's Armed Police officers carry out search and rescue operations near Gyirong port following a mudslide, in Shigatse, Tibet Autonomous Region, China August 30, 2026. China Daily via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. CHINA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN CHINA.
Anggota pasukan keselamatan China menjalankan operasi mencari dan menyelamat berhampiran Pelabuhan Gyirong susulan kejadian tanah runtuh di Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China pada 30 Ogos 2026. - Gambar Reuters.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia dikenal pasti antara warga asing yang masih belum dapat dikesan susulan kejadian tanah runtuh di Pelabuhan Gyirong, China pada 26 Ogos lalu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) bagaimanapun menjelaskan, ketiga-tiga individu berkenaan telah termasuk dalam jumlah 36 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan masih gagal dihubungi di China dan bukan kes tambahan.

“Sehubungan itu, angka semasa kekal pada 36 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi di China dan 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi di Nepal,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, dua daripada 57 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi di Nepal berjaya dikesan dalam keadaan selamat, sekali gus mengurangkan jumlah individu yang masih belum dapat dihubungi kepada 55 orang.

Menurut KLN, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pihak berkaitan di Nepal dan China bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.

“Maklumat yang diterima di kedua-dua negara turut disemak silang bagi mengenal pasti sebarang pertindihan laporan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sejak beberapa hari lalu turut memberikan bantuan konsular kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dan telah tiba di negara berkenaan.

“Kedutaan telah memberikan maklumat terkini, panduan berhubung prosedur tempatan, membantu urusan dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan serta, sekiranya diperlukan, mengiringi ahli keluarga ke lokasi berkaitan di Kathmandu,” katanya.

Ahli keluarga turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Nepal.

Pada masa sama, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing terus berhubung dengan pihak berkuasa masing-masing bagi mendapatkan akses ke kawasan yang lebih hampir dengan lokasi terjejas.

Bagaimanapun, sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, selain mengambil kira keadaan keselamatan dan akses semasa di lapangan.

KLN turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan ketika usaha mengesan rakyat Malaysia terbabit masih diteruskan.

Must Watch Video

Advertisement