Skip to main content

Malaysia

Perlu wujud Pelan Tindakan Masjid Serantau - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan perasmian Program Multaqa Shariah Intelektual Discourse Islamic Finance (SIDR 2026) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zulkifli berkata pelan itu perlu dirangka sebagai langkah susulan selepas Persidangan Masjid Serantau supaya hasilnya dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang mempunyai sasaran dan sebagai ukuran pencapaian dari tahun ke tahun. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

IPOH: Pelan Tindakan Masjid Serantau 2026-2030 yang mempunyai garis masa, sasaran serta indikator pencapaian yang jelas perlu diwujudkan dalam usaha memperkasakan institusi masjid di rantau Asia Tenggara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pelan itu perlu dirangka sebagai langkah susulan selepas Persidangan Masjid Serantau supaya hasilnya dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang mempunyai sasaran dan sebagai ukuran pencapaian dari tahun ke tahun.

Beliau berkata pelan itu juga perlu mempunyai sasaran jelas termasuk penubuhan jaringan dan sekretariat, pengukuhan program ilmu, belia, wakaf dan kemanusiaan, pengembangan jaringan ke lebih banyak negara ASEAN, pembentukan platform kerjasama masjid dunia Islam serta penilaian impak dan pembentukan agenda baharu.

“Saya ingin mencadangkan agar Persidangan Masjid Serantau 2026 memberikan perhatian serius kepada 10 agenda strategik termasuk pembentukan Jaringan Masjid Serantau, menjadikan masjid sebagai pusat ilmu, pemberdayaan belia, pengukuhan ekonomi ummah dan rangkaian kemanusiaan.

"Kita perlu mempunyai keberanian untuk melakukan anjakan paradigma. Masjid tidak boleh hanya dinilai berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan malah mesti dinilai berdasarkan kesan dihasilkan kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Masjid Serantau 2026 bersempena Hari Masjid Sedunia di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr Hasan Bahrom.

Dalam masa sama, Zulkifli berkata dalam memperkukuh peranan masjid, institusi itu mesti bersifat dekat dengan rakyat.

“Jika ibu tunggal datang mencari bantuan, masjid perlu tahu bagaimana membantunya. Jika anak muda menghadapi masalah, masjid perlu mempunyai mekanisme untuk meyakinkan dia mendekatinya. Jika warga emas hidup bersendirian, masjid perlu mengenalinya.

“Keluarga miskin yang tidak mempunyai makanan, masjid perlu mempunyai jaringan bantuan. Jika masyarakat dilanda bencana, masjid perlu menjadi antara institusi paling cepat bertindak. Inilah masjid yang hidup, dicintai masyarakat dan yang membawa rahmat,” katanya. 

Selain itu, Zulkifli menekankan aspek amanah terhadap dana dan wakaf dengan pihak pengurusan perlu berasaskan integriti, ketelusan, profesionalisme, akauntabiliti serta ihsan bagi meyakinkan masyarakat untuk menyumbang kepada masjid.

“Apabila masyarakat menyumbang, lebih banyak perkara boleh dilakukan dan apabila lebih banyak perkara dilakukan dengan amanah, lebih besar manfaatnya kepada umat,” katanya.

Persidangan Masjid Serantau 2026 dengan tema “Masjid Memperkasa Ummah Global: Kesatuan, Kesejahteraan dan Pembebasan Al-Aqsa” menghimpunkan kepimpinan masjid, ulama serta aktivis masyarakat dari rantau Asia Tenggara.

Persidangan bermula semalam itu disertai 200 peserta termasuk dari Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Turki melibatkan pengisian seperti persidangan, Malam Gala Amal Palestin dan Al-Aqsa serta ceramah. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement