WASHINGTON: Bank Dunia mengumumkan bantuan baharu sebanyak AS$1.7 bilion untuk Turkiye bagi membantu negara itu pulih daripada gempa bumi kuat yang melanda baru-baru ini, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

"Bank Dunia hari ini mengumumkan bantuan sebanyak AS$1.78 bilion untuk membantu usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan berikutan gempa bumi dahsyat dan gegaran susulan di Turkiye yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan besar...," lapor Sputnik memetik kenyataan itu.

Bank Dunia itu juga akan memulakan penilaian kerosakan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan bantuan untuk pembinaan semula.

Bantuan segera berjumlah AS$780 juta akan ditawarkan kepada Turkiye melalui Contingent Emergency Response Components dan tambahan AS$1 bilion sedang disediakan untuk menyokong mereka yang terjejas akibat gempa bumi.

"Bagi pihak Kumpulan Bank Dunia, kami merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Turkiye dan Syria atas kehilangan nyawa yang anda alami akibat gempa bumi dahsyat itu," kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass dalam kenyataan itu. - BERNAMA