awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Sejumlah kenderaan terjejas selepas isi minyak, Petronas Dagangan hubungi pelanggan terlibat
'Amanah boleh berganti, terima kasih Perlis' - Mohd Shukri
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

UNMISS: 13 Pegawai PDRM selamat tiba di tanah air dari Sudan Selatan

Bernama
Bernama
25/12/2025
14:45 MYT
UNMISS: 13 Pegawai PDRM selamat tiba di tanah air dari Sudan Selatan
Seramai 13 anggota yang terdiri dari pegawai tinggi dan pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) selamat tiba di tanah air selepas menamatkan tugasan dari Misi Pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS). - Foto BERNAMA
SEPANG: Sebanyak 13 pegawai kanan dan rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tamat penugasan 18 bulan di bawah Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan (UNMISS) bermula 24 Jun 2024 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6 petang tadi.
Ketibaan kumpulan berkenaan di Terminal 1 KLIA disambut oleh Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan, Sukan, Rekreasi) Bukit Aman ACP Ahmad Rahim Dollah.
Delegasi yang dikenali sebagai G13 UNMISS itu terdiri daripada ASP Fairus Md Dawe, Insp Liza George Mokunjil, Insp Nor Azlina Shahrul Zaman, Insp Tay Swee Boon, Sub Insp (SI) Gan Lai Ling, SI Jimmy Jaih, SI Emmanuel Stephens, SI Shawal Shariff, Sjn Mejar (SM) Mohd Hafizzuddin Augustin Abdullah, SM Muhammad Ibrahim Salimy Shohimi, Sjn Sarihati Awang Akhbar, Sjn Albert Legan dan Sjn Mohamad Marjida Mahari.
Ahmad Rahim dalam ucapannya berkata delegasi itu telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, disiplin dan profesionalisme.
"Penglibatan serta pengorbanan yang diberikan bukan sahaja mengharumkan nama PDRM, malah turut mengangkat imej negara di persada antarabangsa sebagai sebuah pasukan keselamatan yang berwibawa dan disegani," katanya.
Beliau berkata prestasi cemerlang semua anggota terlibat dalam misi itu telah memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia berkeupayaan melaksanakan tugasan keselamatan dalam persekitaran berisiko tinggi, sejajar dengan mandat PBB.
Abdul Rahim turut menasihatkan warga PDRM yang berminat menyertai Misi Pengaman PBB supaya meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris serta menguasai kemahiran digital, sebagai persediaan penting bagi memenuhi keperluan operasi dan pentadbiran misi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Azlina, 42, berkata kisah penugasan beliau selama 18 bulan di negara bergolak itu meninggalkan kesan mendalam pada dirinya kerana ia merupakan misi pertama yang disertai sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam pasukan 'Sang Saka Biru'.
"Misi ini bagi saya amat mencabar dari segi mental, fizikal dan emosi. Kami perlu sesuaikan diri dengan keadaan di sana termasuk cuaca dan makanan," kata anak kelahiran Selayang, Selangor itu.
Berkongsi kenangan mencabar, Azlina berkata delegasi itu perlu bijak membuat keputusan dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Kita bertugas di tempat orang dan negara itu masih bergolak. Kita tidak boleh ambil tindakan melulu," katanya.
Liza yang berasal dari Penampang, Sabah pula berkata penyertaan dalam misi itu dapat meningkatkan keyakinan serta mencabar keberanian diri untuk ditugaskan dalam apa jua situasi pada masa hadapan.
"Ada juga pengalaman cemas tapi bila diingat semula rasa kelakar sebab pernah ditahan sebab dituduh langgar kambing dan lembu selain diugut bunuh dan hampir diculik kerana tidak mengaku melakukan tuduhan berkenaan," katanya.
Albert, 49, yang berasal dari Kuching, Sarawak pula berkongsi detik cemas ketika berhadapan dengan insiden cubaan culik semasa menjalankan tugas selepas beberapa hari tiba di negara itu.
"Saya berpegang nasihat pegawai atasan yang meminta kami supaya 'patuh' sahaja sekiranya berlaku situasi seumpama itu dan saya bersyukur ia selesai dalam masa tidak sampai sejam," katanya.
Peranan PDRM dalam misi itu adalah sebagai Individual Police Officers (IPOs) yang antaranya menangani pelbagai isu seperti hak asasi manusia, pengawasan antarabangsa, kepolisan masyarakat, kesedaran kebudayaan dan sosial, bimbingan dan tunjuk ajar.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#PDRM
#UNMISS
#sudan selatan
#pegawai polis
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan