Persatuan Perniagaan Runcit United Kingdom (UK) memberi amaran bantuan perniagaan yang diumumkan sebelum ini tidak mencukupi untuk menghalang perniagaan daripada gulung tikar.

Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan kepada Setiausaha Kewangan dan Perniagaan Kecil di negara itu, persatuan tersebut menyatakaan isu ini, terutamanya sewa premis harus diselesaikan dengan segera sebelum suku kedua tahun ini.

Tambahnya, banyak perniagaan beroperasi dalam keuntungan yang nipis dan tidak mendapat pendapatan dalam beberapa minggu sebelum ini.

Tegasnya, biarpun dengan jangkaan arahan tinggal di rumah yang dikurangkan, ia akan mengambil masa panjang sebelum perniagaan benar-benar pulih.

Tambahnya, biarpun gaji pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji dilindungi kerajaan, perniagaan masih perlu membayar kos premis perniagaan dan ini dijangka sukar untuk dipenuhi.

Ini akan mengakibatkan perniagaan ini tidak dapat meneruskan operasi dan memberikan kesan kepada angka pengangguran apabila ekonomi dibuka kelak.

Sebelum ini, tinjauan daripada industri restoran di UK mendapati jarak dua meter yang dikenakan di restoran di negara berkenaan dijangka mengakibatkan 75 peratus perniagaan akan muflis dalam beberapa bulan.

Menurut laporan CCTV, langkah ini yang diguna pakai sebelum pengumuman perdana menteri Boris Johnson bermakna restoran hanya boleh beroperasi dengan satu pertiga kapasiti sebenar.

Dalam kenyataan terkini Johnson, ia tidak memberi satu petunjuk jelas, namun menyatakan restoran, pub dan bar dijangka dibuka sepenuhnya pada 1 julai ini.

Ketika ini, restoran di UK diberikan panduan untuk beroperasi termasuk dengan penjarakan sosial atau hanya membawa pulang makanan.

Sektor hospitaliti di UK, termasuk restoran menggaji lebih 3.2 juta orang.

Menurut laporan UK Hospitality, jika ini tidak ditangani, 50 peratus pemain dalam sektor berkenaan dijangka gulung tikar dan 2 juta pekerja hilang pekerjaan.