Tiga perniagaan di bandar Salerno, selatan Itali dikenakan denda RM4,976 selepas kerajaan negara itu memperketatkan peraturan bagi mengekang penularan COVID-19.

Sebuah bar dan kedai gunting rambut, dikenakan denda selepas polis mendapati mereka tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu mewajibkan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis.

Itali menguatkuasakan denda itu terhadap mana-mana individu yang didapati tidak memakai pelitup muka di tempat tertutup, sama ada di bangunan awam, pasar raya, bar, restoran, kedai dan pengangkutan awam.

Berdasarkan peraturan baharu itu, pengendali pengangkutan perlu melarang penumpang yang tidak memakai pelitup muka.

Jika mereka berdegil, pihak operator wajar memaklumkan hal tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

Selain didenda, perniagaan boleh berdepan tindakan penutupan operasi antara lima hingga 30 hari.

Itali merupakan negara pertama di Eropah yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Ia merekodkan lebih 35,000 kematian dan 242,000 kes jangkitan.