Skip to main content

Dunia

AS batal latihan amfibia bersama Korea Selatan susulan kekangan operasi akibat perang Iran

FILE PHOTO: South Korea's marines take part in U.S. and South Korea's marine corps combined amphibious landing drill called the 'Ssangyong' exercise, in Pohang, South Korea, September 2, 2024. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Pembatalan itu menyusuli arahan Presiden AS, Donald Trump, supaya skala latihan ketenteraan tahunan Ulchi Freedom Shield dikurangkan sebelum ia berakhir pada Jumaat lalu. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

SEOUL: Amerika Syarikat (AS) membatalkan latihan pendaratan amfibia bersama berskala besar dengan Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung bulan depan selepas Washington memaklumkan berdepan kekangan ketersediaan anggota dan aset tentera susulan perang di Iran.

Jurucakap Kor Marin Korea Selatan berkata pihaknya menerima pemberitahuan rasmi daripada Kor Marin AS bahawa penyertaan bagi latihan dwitahunan peringkat divisyen yang dikenali sebagai Ssangyong tidak dapat diteruskan seperti dirancang.

Menurut beliau, kedua-dua negara sekutu itu masih mengadakan rundingan bagi menentukan pelaksanaan semula latihan berkenaan pada masa hadapan.

Pembatalan itu menyusuli arahan Presiden AS, Donald Trump, supaya skala latihan ketenteraan tahunan Ulchi Freedom Shield dikurangkan sebelum ia berakhir pada Jumaat lalu.

Trump berkata latihan tersebut melibatkan kos yang tinggi selain mengkritik keengganan kerajaan Korea Selatan untuk menyertai kempen ketenteraan pimpinan Washington terhadap Iran.

Dalam hantaran di platform Truth Social, beliau turut menyifatkan latihan Ulchi Freedom Shield sebagai isyarat yang tidak sesuai dan bermusuhan terhadap Korea Utara.

Walaupun latihan itu dikurangkan skalanya, Korea Utara tetap melancarkan 10 peluru berpandu balistik jarak pendek minggu lalu serta mengeluarkan kenyataan mengecam latihan berkenaan.

Pyongyang sejak sekian lama menganggap latihan ketenteraan bersama antara AS dan Korea Selatan sebagai latihan untuk pencerobohan, manakala Washington dan Seoul menegaskan ia bersifat defensif.

Must Watch Video

Advertisement