Skip to main content

Malaysia

Malaysia sumbang RM108.9 juta untuk rakyat Palestin sejak 2023

Kanak-kanak Palestin menyanyikan lagu A' Touna Tufooli pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Dataran Putrajaya malam ini. - Gambar Bernama
Kanak-kanak Palestin menyanyikan lagu A' Touna Tufooli pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Dataran Putrajaya malam ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia menyumbang RM108.9 juta kepada rakyat Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar sejak 2023 hingga Nov ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Berucap pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di sini hari ini, beliau berkata sumbangan berkenaan termasuk RM16.9 juta bantuan yang diluluskan beberapa hari lepas kepada rakyat Palestin, merangkumi bantuan musim sejuk, banjir, persekolahan dan kanak-kanak.

“Malaysia akan terus teguh bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan. 

Advertisement

“Solidariti kita tidak seharusnya terhenti pada ungkapan simpati semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata,” katanya.

Zulkifli berkata Malaysia tidak akan berpeluk tubuh melihat nasib yang menimpa umat Islam di Palestin dan akan terus berusaha membantu sedaya upaya dalam apa jua bentuk bantuan.

Advertisement

“Amat mengaibkan sekiranya kita berpeluk tubuh dengan alasan sibuk dengan urusan sendiri, sedangkan saudara kita di Palestin berjuang mempertahankan tanah air dan nyawa mereka setiap detik. 

“Teruskanlah menyumbang mengikut kemampuan, teruskan mendidik generasi muda kita tentang sejarah sebenar Palestin dan teruskan berdoa agar kemenangan yang hakiki dikurniakan kepada mereka,” katanya.

Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di Dataran Putrajaya di sini yang dihadiri ribuan peserta adalah manifestasi komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan untuk rakyat Palestin.

Program malam ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian termasuk syarahan untuk pembebasan Gaza, tausiah Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi serta bacaan Qunut Nazilah. 

Orang ramai hadir memakai pakaian putih sebagai simbol sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement