MOSCOW : Kementerian Dalam Negeri Rusia telah mengisytiharkan bekas banduan Sergei Savelyev, yang mendedahkan rakaman video penderaan dalam penjara kepada kumpulan hak asasi manusia, sebagai individu paling dikehendaki.

Berdasarkan notis dikeluarkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, Sergei Savelyev, dikehendaki berkaitan kes jenayah yang tidak dikhususkan.

Kumpulan hak asasi manusia Gulagu.net berkata, rakaman video yang didedahkan Savelyev menunjukkan kejadian penderaan serta rogol yang didakwa berlaku dalam sebuah penjara di wilayah Saratov, kira-kira 450 kilometer di selatan Moscow.

Lima pegawai kanan penjara berkenaan telah dipecat susulan pendedahan itu berdepan beberapa tuduhan jenayah.

Savelyev, yang kini sedang memohon suaka politik di Perancis, tidak menolak kemungkinan kerajaan Rusia akan mendakwanya dengan tuduhan mendedahkan rahsia kerajaan.

"Mereka hanya melakukan tindakan yang mereka tahu, iaitu secara paksaan. Pihak berkuasa Rusia cuba menutup mulut saya.

"Amat memalukan kerana masa yang sepatutnya digunakan untuk mereformasi sistem dan menyiasat semua bukti yang diberikan, mereka cuba menyembunyikan kebenaran," katanya.