BEKAS pemandu Formula Satu, Patrick Tambay, meninggal dunia di usia 73 tahun pada Ahad, kata keluarganya.

Tambay disahkan menghidap penyakit Parkinson beberapa tahun lalu.

Mendiang menggantikan Gilles Villeneuve selepas kemalangan maut yang meragut nyawa pemain hebat Kanada itu pada 1982.

Tambay memenangi dua perlumbaan bersama Ferrari, iaitu di Grand Prix Jerman 1982 dan Grand Prix San Marino 1983, selain menduduki tempat keempat dalam kejohanan dunia 1983.

Mendiang juga pernah bersaing untuk McLaren pada 1978 dan 1979 selepas penampilan sulung pada 1977 dengan pasukan Theodore Racing.

Tambay bersara pada 1986 selepas dua tahun bersama Renault dan musim terakhir bersama Haas Lola.

“Kami semua benar-benar sedih dengan berita pemergian Patrick Tambay.

"Beliau adalah salah seorang bintang sebenar tahun 80-an yang memenangi dua perlumbaan dengan Scuderia dan menyumbang untuk memenangi gelaran Manufacturers pada 1982 dan 1983," kata Ferrari dalam kemas kini di media sosial.