Skip to main content

Dunia

Bekas peserta American Idol dipenjara seumur hidup kerana bunuh isteri

Caleb Flynn membaca kenyataannya di mahkamah sebelum dijatuhi hukuman dalam kes pembunuhan isterinya. - Foto AP
Caleb Flynn membaca kenyataannya di mahkamah sebelum dijatuhi hukuman dalam kes pembunuhan isterinya. - Foto AP

Advertisement

OHIO: Bekas peserta program pencarian bakat American Idol, Caleb Flynn, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selepas didapati bersalah membunuh isterinya, Ashley Flynn.

Flynn, 40, disabitkan kesalahan minggu lalu selepas juri menolak dakwaannya bahawa seorang penceroboh telah memasuki rumah mereka di Tipp City, Ohio, dan menembak isterinya ketika sedang tidur.

Selain pertuduhan membunuh, dia turut didapati bersalah atas lapan pertuduhan lain termasuk pembunuhan terancang dan mengganggu bahan bukti.

Semasa prosiding hukuman pada Isnin, dua surat daripada anak perempuannya dibacakan di mahkamah, menggesa Flynn mengaku atas perbuatannya dan mempersoalkan mengapa dia sanggup membunuh ibu mereka.

Ashley, seorang guru berusia 37 tahun, ditembak mati pada Februari lalu.

Pendakwa raya berkata Flynn kemudian mereka-reka keadaan rumah mereka supaya kelihatan seolah-olah berlaku pecah masuk melalui garaj.

Hakim Jeannine Pratt menyifatkan Flynn sebagai individu yang membawa risiko besar kepada masyarakat ketika menjatuhkan hukuman.

Perbicaraan selama lapan hari itu menampilkan pelbagai bukti termasuk rakaman kamera badan polis, data iPhone dan Apple Watch milik Flynn serta mesej teks yang dihantarnya kepada bekas kekasihnya, Alleigha Botner.

Dalam satu mesej yang dibacakan di mahkamah, Flynn dilaporkan menulis bahawa dia memikirkan cara untuk membunuh isterinya tanpa dipenjarakan.

Dalam mesej lain, dia menyatakan bahawa dia mahu isterinya "mati dan tiada lagi".

Flynn tidak memberi keterangan sepanjang perbicaraan dan pasukan pembelaannya tidak memanggil sebarang saksi.

Peguamnya, Patrick Mulligan, berkata pihak pembelaan bercadang mengemukakan rayuan, dengan alasan bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan pembunuhan itu dirancang lebih awal.

Flynn, yang pernah muncul secara ringkas dalam American Idol pada 2013, sekali lagi menafikan membunuh isterinya ketika prosiding hukuman walaupun mengakui gagal menunaikan ikrar perkahwinannya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement