DUNIA
Bekas PM UK, Rishi Sunak sertai Goldman Sachs sebagai penasihat kanan

Rishi Sunak dilantik sebagai penasihat kanan di syarikat pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs, selepas setahun meletak jawatan susulan kekalahan Parti Konservatif. - Gambar fail Reuters
LONDON: Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak dilantik sebagai penasihat kanan di syarikat pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs, selepas setahun meletak jawatan susulan kekalahan Parti Konservatif kepada Parti Buruh pimpinan Keir Starmer.
Pelantikan itu diumumkan oleh Goldman Sachs pada Selasa, sekali gus menyaksikan kepulangan Sunak ke institusi kewangan di mana beliau pernah berkhidmat sebagai penganalisis pada awal 2000.
Sunak yang masih memegang kerusi Parlimen dari kawasan utara England, pernah berkhidmat dalam sektor dana lindung nilai sebelum menceburi bidang politik.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Kewangan UK sebelum menjadi Perdana Menteri.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon, pelantikan Sunak dilihat sebagai satu langkah strategik memandangkan latar belakangnya dalam dasar ekonomi dan hubungan antarabangsa.
“Saya berbesar hati menyambut kepulangan Rishi ke Goldman Sachs. Dalam peranan ini, beliau akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin syarikat untuk menasihati para klien global dalam pelbagai isu penting, termasuk landskap ekonomi makro dan geopolitik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sunak sebelum ini sering dikritik oleh pengundi UK kerana dianggap terlalu elit dan "terpisah daripada realiti rakyat biasa" susulan statusnya sebagai Perdana Menteri terkaya dalam sejarah Britain.
Ini berikutan kekayaan keluarganya melalui perniagaan teknologi Infosys, yang diasaskan oleh bapa mentuanya di India.
Sejak melepaskan jawatan selepas kekalahan besar Konservatif dalam pilihan raya umum tahun lalu – yang disifatkan sebagai kekalahan terburuk parti itu dalam lebih 100 tahun – Sunak agak menyepi daripada perhatian media.
Beliau kemudiannya menerima jemputan akademik di Universiti Oxford dan Stanford awal tahun ini.
Langkah Sunak ini mengikuti jejak beberapa bekas tokoh politik UK lain yang menyertai dunia kewangan.
Antaranya ialah George Osborne, yang kini berkhidmat di BlackRock dan Robey Warshaw, serta Sajid Javid yang menjadi rakan kongsi di firma pelaburan Centricus.
Penganalisis melihat trend ini sebagai satu perkembangan semula jadi memandangkan pengaruh dan rangkaian antarabangsa yang dimiliki tokoh-tokoh politik mampu memberi nilai tambah kepada institusi kewangan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami