BEKAS Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Henry Kissinger meninggal dunia pada usia 100 tahun.

Mendiang dilapor menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Connecticut pada Rabu, menurut kenyataan dari Kissinger Associates Inc.

Ahli politik veteran ini memainkan peranan penting dalam polisi luar negara AS di bawah pentadbiran Presiden Richard Nixon dan Presiden Gerald Ford.

Mendiang dilahirkan di Jerman pada tahun 1923 dan melarikan diri ke AS daripada kekejaman rejim Nazi bersama keluarganya pada usia remaja.

Semasa memegang jawatan sebagai Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri selama 8 tahun, Kissinger terlibat dalam beberapa peristiwa bersejarah berkaitan polisi luar negara AS.

Antaranya 'Shuttle Diplomacy' bagi mencapai keamanan di Asia Barat, rundingan sulit bersama China untuk meregangkan konflik antara dua negara kuasa besar itu dan memulakan perbincangan keamanan Paris bagi menamatkan konflik di Vietnam.

Pada tahun 1973, mendiang telah dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan bagi menghargai usahanya dalam rundingan menamatkan Perang Vietnam.

Mendiang terus aktif dalam dunia politik selepas meraikan ulang tahun ke-100 pada bulan Mei lepas.

Beliau terus menghadiri mesyuarat di White House, menerbitkan sebuah buku tentang gaya kepimpinan dan memberi keterangan di hadapan Senat tentang ancaman nuklear dari Korea Utara.

Pada bulan Julai lepas, mendiang mengadakan lawatan mengejut ke Beijing bagi mengadakan pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping.