Bekas Timbalan Perdana Menteri Britain, Rayner akan kembali, kata Starmer

Starmer berkata, sikap prejudis ke atas wanita turut memainkan peranan dalam tahap kecaman yang diterima Rayner (gambar) sebelum ini. - Facebook Angela Rayner
LONDON: Bekas Timbalan Perdana Menteri Britain, Angela Rayner akan kembali ke dalam kerajaan, kata Perdana Menteri, Keir Starmer dalam satu wawancara akhbar, lapor PA Media/dpa.
Rayner meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Perumahan dan Timbalan Ketua Parti Buruh pada September selepas siasatan bebas mengenai etika mendapati beliau melanggar kod menteri berhubung pembayaran duti setem - cukai hartanah - yang tidak mencukupi bagi sebuah rumah pangsa tepi laut.
Dalam wawancara dengan The Observer, Perdana Menteri berkata, beliau merindui Rayner dan menyatakan bahawa sikap prejudis ke atas wanita turut memainkan peranan dalam tahap kecaman yang diterima Rayner serta Menteri Kewangan, Rachel Reeves sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Selepas menyifatkan Rayner sebagai "kisah mobiliti sosial terbaik yang pernah dilihat negara ini", Starmer ditanya sama ada beliau merindui bekas timbalannya dan menjawab: "Ya, sudah tentu. Saya sangat sedih apabila kami kehilangannya.
"Seperti yang saya katakan kepadanya ketika itu, beliau akan terus menjadi suara penting dalam gerakan Buruh."
Ketika ditanya sama ada Rayner akan kembali menganggotai Kabinet, beliau berkata: "Ya. Beliau sangat berbakat."
Ketua Pembangkang daripada Parti Konservatif, Kemi Badenoch berhujah di Parlimen bulan lepas bahawa sebarang kemunculan semula Rayner perlu disertai syarat bahawa "beliau harus membayar semula GBP40,000 (AS$53,364) cukai hartanah yang dielakkan."
Awal minggu ini, seorang sumber rapat Rayner berkata, beliau "tidak akan diperlakukan seperti bidak catur", susulan laporan mengenai kemungkinan perjanjian antara beliau dan Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting untuk bertanding jawatan kepimpinan Parti Buruh.
Sumber itu berkata, "tiada kekosongan dan tiada pakatan", selepas akhbar The Daily Telegraph melaporkan bahawa penyokong Streeting mendesak Rayner menyertai satu "tiket bersama" untuk jawatan tinggi parti.
Starmer menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk berundur sebelum pilihan raya akan datang.
Beliau berkata: "Apabila saya mengambil alih Parti Buruh, semua orang berkata kepada saya, 'anda tidak akan mampu mengubah parti'. Kami abaikan dan teruskan.
"Kemudian mereka berkata, 'anda tidak akan mampu menang pilihan raya'. Kami meraih kemenangan besar bagi Parti Buruh.
Kini, selepas 17 bulan daripada penggal lima tahun Parti Buruh, mereka berkata 'anda tidak akan mampu mengubah negara
Setiap kali kami berada dalam situasi sebegini, kami membuktikan sebaliknya. Dan itulah yang saya mahu lakukan."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


