Skip to main content

Malaysia

EPCB pacu penyertaan wanita dalam pasaran buruh, selari piawaian ILO - PERKESO

51735803655_PERKESOperkesolog.jpg

KUALA LUMPUR: Pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) dijangka  meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh aktif, sekali gus meletakkan Malaysia seiring dengan piawaian global yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, faedah itu akan menggunakan pendekatan ‘perkongsian liabiliti’ dengan menyerap sebahagian beban kos sara hidup pekerja semasa cuti tambahan tanpa memberi kesan fiskal langsung kepada operasi majikan.

Advertisement

Menurut PERKESOpendekatan itu telah dilaksanakan di negara maju seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan China yang memanfaatkan dana keselamatan sosial bagi memastikan kelangsungan industri tanpa mengabaikan kebajikan wanita selepas bersalin.

“Pelaksanaan ini bukan sahaja kritikal dalam memelihara kesihatan wanita hamil, malah menjadi benteng menampan kecenderungan wanita meninggalkan kerjaya selepas bersalin ekoran peningkatan kos sara hidup keluarga.

“Sebagai penggerak utama, PERKESO bertekad menjadikan EPCB sebagai tunjang kepada pemangkin pasaran buruh Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif,” katanya.

Faedah terbaharu itu akan dilaksanakan melalui pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Dalam pada itu, PERKESO memaklumkan pelaksanaan Skim Pengembara PERKESO menerusi Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789)  berperanan bagi menutup kelompangan perlindungan sosial melibatkan pekerja rentas sempadan.

“Langkah ini dijangka melindungi sekitar 1.6 juta individu, termasuk hampir 480,000 pekerja yang berulang-alik setiap hari menerusi Tambak Johor, bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya daripada risiko yang tidak terjangkau sebelum ini.

"Ini bukan sekadar peluasan skim, sebaliknya manifestasi sokongan terhadap pengorbanan ratusan ribu pekerja yang berdepan risiko tinggi demi kelangsungan hidup,” menurut kenyataan itu.

Menurut PERKESO, segala mekanisme operasi dan sistem sokongan telah diperkemas bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan berjalan lancar selaras aspirasi Kerajaan MADANI.

“Kami kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk melaksanakan mandat tersebut demi memastikan setiap penambahbaikan memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat,” maklum kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 berkata kerajaan akan memperkenalkan EPCB sebagai langkah progresif menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh yang kini menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen selepas bersalin.

-- BERNAMA

Must Watch Video