Ringkasan AI
- Gabungan Liberal-Nasional dijangka memenangi Pilihan Raya Negeri Victoria, menamatkan pemerintahan Parti Buruh selama 12 tahun.
- Jess Wilson dijangka menjadi Premier wanita pertama dan paling muda Victoria selepas Ben Carroll mengakui kekalahan Parti Buruh.
- Gabungan itu merancang memansuhkan perjanjian dengan masyarakat Orang Asal, memperketat undang-undang, dan membatalkan projek tenaga boleh baharu.
ISTANBUL: Gabungan Liberal-Nasional dijangka memenangi Pilihan Raya Negeri Victoria, Australia, sekali gus berkemungkinan menamatkan pemerintahan Parti Buruh selama 12 tahun.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan, memetik penyiar negeri Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), bahawa dengan lebih 17 peratus undi dikira, gabungan itu dijangka memenangi lebih 35 kerusi.
Seramai 1,037 calon bertanding bagi merebut 88 kerusi Dewan Rendah dan 40 kerusi Dewan Tinggi dalam pilihan raya yang disifatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Victoria sebagai "pilihan raya negeri terbesar dan paling kompleks setakat ini".
Sekurang-kurangnya 45 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti di Dewan Rendah. Parti atau gabungan yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rendah akan membentuk Kerajaan Victoria.
Dewan Tinggi pula bertanggungjawab menyemak undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rendah.
Pusat pengundian dibuka pada 8 pagi (2100 GMT) Jumaat dan ditutup pada 6 petang waktu tempatan (0700 GMT) Sabtu di Victoria, negeri kedua terbesar di Australia dari segi jumlah penduduk, dengan kira-kira 7.2 juta penduduk dan 4.7 juta pengundi.
Premier Victoria daripada Parti Buruh Ben Carroll, yang tewas di kerusi yang ditandinginya, mengakui kekalahan parti itu.
Beliau menghubungi Ketua Parti Liberal Jess Wilson, untuk mengucapkan tahniah, katanya pada sidang media.
"Beliau mencapai sesuatu yang hebat sebagai Premier pertama wanita yang dipilih dan paling muda di Victoria. Saya akan sentiasa menyayangi negeri kita yang hebat ini, tidak kira siapa yang mentadbirnya," katanya.
Jess Wilson dijangka menjadi Premier Victoria yang ke-51.
Dalam pilihan raya itu, parti berhaluan kanan jauh, One Nation, juga berpotensi meningkatkan perwakilannya melebihi satu kerusi tunggal yang dimilikinya ketika ini di Dewan Tinggi, sekali gus berpotensi memperluas pengaruhnya dalam Parlimen Victoria.
Gabungan itu menyatakan rancangan untuk memansuhkan perjanjian rasmi pertama Australia dengan masyarakat Orang Asal, memperketat undang-undang jaminan serta hukuman terhadap pesalah bawah umur, selain mengenakan sekatan lebih ketat terhadap demonstrasi.
Gabungan itu turut berjanji untuk memperluas kegiatan penerokaan gas, membatalkan projek utama penghantaran tenaga boleh baharu serta menarik balik larangan pemasangan sambungan gas di kediaman baharu.
-- BERNAMA-ANADOLU