HANOI: Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China Xi Jinping berkata asas persahabatan China-Vietnam berakar dalam kalangan rakyat dan masa depan hubungan akrab akan dilakarkan oleh golongan muda.

Xi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena pertemuan bersama wakil belia China dan Vietnam serta mereka yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan persahabatan Beijing-Hanoi.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Hanoi pada Rabu itu ialah isteri Presiden Xi, Peng Liyuan dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong dan isterinya Ngo Thi Man.

Xi berkata keputusan berhubung pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam yang berkepentingan strategik menyingkap lembaran baharu perkembangan hubungan dua hala.

"Ia merupakan keputusan strategik untuk memastikan kestabilan dan keselamatan yang berkekalan diwujudkan di kedua-dua negara," katanya.

Presiden itu turut berkata jalinan persahabatan kedua-dua negara didasari rakyat dan belia merupakan harapan masa hadapan.

"Amat diharapkan bahawa golongan belia kedua-dua negara dapat meneruskan persahabatan dan memainkan peranan mereka sendiri dalam usaha membina komuniti berkongsi nasib China-Vietnam yang membawa kepentingan strategik," kata Xi.

Beliau berkata belia digalakkan untuk mengambil bahagian dalam memajukan pembangunan Asia Pasifik dan menyumbang kepada keamanan yang berkekalan di rantau itu.

"Besar harapan belia dapat menjadi perintis dalam menggerakkan kemajuan manusia dan berjuang ke arah komuniti berkongsi nasib sesama insan," katanya.

-- BERNAMA