AS berdepan risiko penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah - Speaker Dewan

Johnson mengadakan sidang media di Capitol, Washington ketika penutupan kerajaan AS memasuki minggu ketiga. - Foto AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berisiko menghadapi "satu daripada penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah" jika Parti Demokrat tidak bersetuju meluluskan rang undang-undang pembiayaan, kata Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson pada Isnin.
Bercakap pada sidang media sempena hari ke-13 penutupan kerajaan, Johnson menyalahkan kebuntuan yang berlarutan itu kepada "halangan" daripada Demokrat, dengan mendakwa keengganan mereka berkompromi mendorong negara menuju ke arah kebuntuan berpanjangan, lapor Anadolu Ajansi.
"Ini akan menjadi penutupan kerajaan ketiga terpanjang dalam sejarah Amerika.
"Kita sedang menuju ke arah satu daripada penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah kecuali Demokrat menghentikan tuntutan mereka dan meluluskan belanjawan bersih tanpa syarat untuk membuka semula kerajaan serta membayar gaji pekerja persekutuan," katanya kepada pemberita di Capitol Hill.Johnson menegaskan bahawa Parti Republikan bersedia untuk berunding mengenai peruntukan tahunan dan isu-isu perundangan lain yang mendesak, tetapi hanya di bawah keadaan yang telus," katanya.
Walaupun penutupan kerajaan tidak semestinya mencetuskan krisis ekonomi besar-besaran, ia menimbulkan gangguan serius dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat Amerika dan meningkatkan ketidaktentuan keadaan ekonomi terbesar dunia itu.
Ramai kakitangan persekutuan diarahkan bercuti tanpa gaji atau dipaksa bekerja tanpa bayaran, manakala sebahagian lagi diminta cuti wajib sehingga belanjawan baharu diluluskan.
Setiap agensi persekutuan mempunyai pelan penutupan masing-masing bagi menentukan kakitangan yang dianggap penting.
Dalam penutupan terdahulu, pekerja kerajaan digantung tugas tetapi tidak dipecat, dan tiada program kerajaan yang ditamatkan.
Parti Demokrat pula menegaskan langkah sedemikian mungkin menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami