DARIPADA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 12 Januari 2021.

1) Trump isytihar darurat di Washington DC

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan darurat di Washington D.C. menjelang pelantikan rasmi Presiden yang dipilih Joe Biden yang dijadual 20 Januari ini, kata kenyataan White House pada Isnin.

2) Dua gorila di Zoo San Diego positif COVID-19

Dua ekor gorila di Zoo San Diego disahkan positif COVID-19 dengan beberapa gejala sekali gus menjadikannya wabak pertama kepada haiwan.

Gabenor California, Gavin Newsom bagaimanapun memaklumkan, punca jangkitan kepada gorila itu masih dalam siasatan sama ada dari haiwan atau manusia.

3) AS masuk bulan kedua program vaksinasi

Amerika Syarikat (AS) memasuki bulan kedua program vaksinasi yang diperluaskan.

Ia membuka stadium bola sepak dan pusat konvensyen bagi proses inokulasi yang lebih menyeluruh kepada rakyatnya.

4) WHO umum pasukan saintis akan ke China kaji asal usul COVID-19

SELEPAS tertangguh beberapa minggu, pasukan saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan ke Wuhan, China untuk misi kenal pasti punca virus COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ini selepas China memberikan lampu hijau kepada agensi berkenaan untuk menjalankan kajian.

5) Varian baharu dikesan di Jepun, beza seperti di UK, Afrika

Jepun mengesan varian baharu COVID-19 daripada seorang pengembara dari Brazil. Mutasi virus ini bagaimanapun berbeza daripada yang dikenal pasti di Britain dan Afrika Selatan.

6) Biden ambil dos kedua - yakinkan rakyat AS

Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menerima dos kedua vaksin COVID-19 - tiga minggu selepas mendapatkan suntikan pertama.

Suntikan vaksin Biden disiarkan secara langsung dalam usaha meyakinkan rakyat bahawa ia selamat untuk diambil.

7) Demokrat kemuka usul pecat Trump

Wakil Demokrat kemukakan usul pemecatan terhadap Presiden Donald Trump di Dewan Perwakilan. Usul itu mendakwa Trump menjadi pencetus keganasan, susulan protes di bangunan Capitol minggu lalu.

8) COVID-19: Jumlah kes positif global melebihi 90.6 juta

JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 90 juta kes.

Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas sekali gus menjadikan kes kumulatif global menjadi 90.6 juta kes.

9) Britain sasar vaksin semua warga dewasa menjelang musim luruh

Britain akan memberi suntikan vaksin kepada semua kumpulan warga dewasa di negara itu menjelang musim luruh.

Setiausaha Kesihatannya, Matt Hancock memaklumkan bahawa matlamat kerajaan adalah untuk memberi vaksin kepada 15 juta warganya pada pertengahan Februari, dengan keutamaan kepada yang berusia lebih dari 70 tahun, pekerja kesihatan dan mereka yang berisiko dijangkiti virus.

10) Kotak hitam pesawat Sriwijaya Air ditemui selepas tiga hari

Kotak hitam pesawat Sriwijaya Air SJ182 ditemui oleh pasukan penyelamat pada Selasa, kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan.

Menurut laporan Reuters, kotak hitam itu ditemui antara sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang di Kepulauan Seribu, Jakarta.