ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 19 Februari 2021.

1) Polis Thailand berkas rakyat Malaysia seludup dadah dalam peket mi segera

Seorang rakyat Malaysia diberkas oleh polis Thailand selepas dipercayai terbabit menyeludup dadah dalam peket mi segera di sini semalam (Khamis).

Pegawai penyiasat daripada Biro Polis Metropolitan Bangkok Pol. Mejar Char-khorn Premruedeelert berkata lelaki berusia 34 tahun itu diberkas di sebuah kondominium di Bang Na, timur Bangkok.

2) Tertekan kerana perintah berkurung, pesara cekik isteri hingga mati

Seorang pesara di United Kingdom didapati bersalah membunuh isterinya di kediaman mereka di Cwmbran, selatan Wales.

Dalam kejadian pada 28 Mac tahun lepas, Anthony Williams, 70, secara tiba-tiba naik berang lalu mencekik isterinya Ruth, 67, hingga mati.

3) Jepun kesan lebih 90 kes varian baharu COVID-19

Pihak berkuasa kesihatan Jepun menemui lebih daripada 90 kes varian baharu virus COVID-19, menurut ketua jurucakap kerajaan pada Jumaat.

Reuters melaporkan, varian mutasi berkenaan yang dikenali dengan E484K, dikenal pasti dalam 91 kes di kawasan Kanto di timur Negara Matahari Terbit itu dan dua lagi kes di lapangan terbang, kata Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobo Kato.

4) Libya dilanda salji, pertama kali dalam 15 tahun

Gunung Hijau di Libya dilanda sajli buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun. Keadaan yang jarang berlaku yang bermula pada Isnin, dilihat sebagai titik mula pendamaian di negara yang sedang bergolak dengan perang saudara itu.

5) Warga Jakarta berdepan denda, dinafi bantuan sosial jika tolak vaksin COVID-19

Pemerintah Jakarta memberi amaran kepada warganya agar mengambil bahagian dalam program vaksinasi negara atau berdepan 'hukuman'.

6) COVID-19: Satu suntikan memadai, keberkesanan lebih 80 peratus - Pakar kesihatan Kanada

Satu suntikan vaksin COVID-19 didakwa memadai untuk mengekang penularan penyakit COVID-19.

Itu dapatan oleh pegawai kesihatan Kanada yang mengkaji keberkesanan satu suntikan vaksin Pfizer-BioNTech berbanding dua yang disyorkan pengeluar.

7) Perseverance NASA berjaya membuat pendaratan bersejarah di Marikh

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) berjaya mendaratkan kenderaan robotik di Marikh dalam usaha mengesan kehidupan di planet tersebut.

Kenderaan yang dinamakan Perseverance itu merupakan robotik ketiga yang mendarat di planet merah itu.

8) Biden dijangka umum dana AS$2 bilion untuk inisiatif vaksin pada persidangan G7

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bakal mengumumkan sumbangan AS$2 bilion (kira-kira RM8.1 bilion) untuk inisiatif vaksin koronavirus global ketika berucap di hadapan pemimpin ekonomi pasaran terkemuka dunia G7 pada Jumaat.

9) Wartawan, kru dirompak ketika bersiaran langsung

Seorang wartawan di Ecuador diacu pistol dan dirompak ketika sedang bersiaran langsung.

Wartawan sukan Diego Ordinola, sedang membuat liputan di luar Estadio Monumental, di bandar Guayaquil, Ecuador apabila seorang lelaki yang memakai pelitup muka dan bersenjatakan sepucuk pistol jenis revolver, memintanya menyerahkan telefon bimbitnya.

10) Penduduk kampung 'borong' kereta selepas jadi jutawan segera

Penduduk kampung Sumurgeneng bergelar jutawan segera selepas memperoleh wang pampasan tanah yang dibeli oleh syarikat minyak di Jawa Timur, Indonesia.

Dianggarkan 225 pemilik bersetuju tanah mereka dijual dengan setiap seorang menerima Rp8 bilion (RM2.3 juta) dan lokasi itu bakal dibangunkan sebuah kilang pemprosesan minyak, lapor Detik News pada Khamis.