Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 2 Disember 2022.

1. Forum dan mesyuarat Datuk Bandar ASEAN bincang kerjasama bina bandar pintar

Datuk Bandar negara-negara (ASEAN) bertemu di Phnom Penh pada Jumaat bagi membincangkan bagaimana menggalakkan kerjasama menyeluruh untuk membina bandar pintar, berdaya tahan dan mampan di rantau ini.

2. Kongres Peru lulus usul mulakan prosiding pecat presiden

Sidang pleno Kongres Peru pada Khamis meluluskan usul dikemukakan ahli parlimen pembangkang untuk memulakan prosiding pemecatan terhadap Presiden Pedro Castillo.

3. Turkiye antara negara paling terdedah berita palsu - Presiden Erdogan

Turkiye adalah antara negara yang paling terdedah kepada berita palsu apabila maklumat palsu merebak ketika proses pendigitalan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.

4. Tesla mula edar keluaran pertama lori elektrik

Tesla pada Khamis menghantar kumpulan pertama lori elektrik kepada PepsiCo dalam satu majlis yang diadakan di Gigafactory di Sparks, Nevada, Amerika Syarikat.

5. Akta Pengurangan Inflasi AS: Korea Selatan, EU ikrar kerjasama

Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU) mencapai kesepakatan untuk bekerjasama berhubung undang-undang baharu Amerika Syarikat (AS) yang mengecualikan insentif cukai ke atas kenderaan elektrik yang dipasang di luar Amerika Utara, lapor Yonhap.

6. Pemimpin AS, Perancis kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan rakan sejawatnya dari Perancis Emmanuel Macron pada Khamis mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan Korea Utara baru-baru ini, sambil menyifatkan ia sebagai ancaman kepada keamanan dan kestabilan serantau, lapor Agensi Berita Yonhap.

7. New York, Singapura bandar raya paling mahal untuk dihuni

Bandar New York dan Singapura muncul sebagai lokasi paling mahal untuk dihuni pada tahun 2022.

8. Selesema burung: 37,000 unggas dihapus untuk cegah penularan wabak

Pihak berkuasa Peru telah memusnahkan sekurang-kurangnya 37,000 unggas di sebuah ladang ayam dalam usaha menghentikan penularan jangkitan selsema burung.

9. Tragedi Halloween Itaewon: Ketua Polis Seoul disoal siasat

Ketua polis Seoul dipanggil untuk disoal siasat pada Jumaat sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan mengenai kejadian rempuhan maut di kejiranan Itaewon, Seoul.

10. COVID-19: Sekatan di Guangzhou dilonggarkan

Suasana di daerah Haizu, wilayah Guangzhou, China kini kembali sibuk dengan beberapa sektor perniagaan dibenarkan beroperasi susulan kelonggaran sekatan COVID-19.