Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 8 Disember 2022.

1. Indonesia bebaskan bekas anggota JI terbabit serangan bom di Bali dengan parol

Bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI), Umar Patek, dibebaskan dengan parol selepas menjalani separuh daripada tempoh hukuman penjara di Jawa Timur.

2. Undang-undang baharu: Hotel di Bali tidak akan minta bukti perkahwinan

Ketua Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun berkata, warga asing tidak seharusnya dihalang daripada melawat pulau peranginan itu selepas Parlimen Indonesia meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) yang menjenayahkan seks luar nikah dan bersekedudukan.

3. Akta Jenayah | Pelancong, pengusaha di Indonesia gusar akta jenayah baharu

Pelancong dan pengusaha yang ditemui di Bali menyatakan kegusaran terhadap undang-undang berkenaan, ketika pulau peranginan itu mula bangkit susulan pandemik COVID-19.

4. Presiden Peru, Pedro Castillo ditahan selepas umum bubar Kongres

Presiden Peru Pedro Castillo ditahan pada Rabu, beberapa jam selepas beliau mengumumkan pembubaran sementara Kongres.

5. Gempa bumi kuat landa Jawa Barat

Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan bandar Sukabumi di Jawa Barat pada Khamis, menurut Agensi Geofizik Indonesia (BMKG).

6. Dina Boluarte jadi Presiden wanita pertama Peru

Naib Presiden Peru Dina Boluarte diangkat menjadi Presiden wanita pertama Peru selepas pergolakan politik penuh dramatik yang menyaksikan penyandang jawatan itu ditahan pihak berkuasa.

7. Serangan siber di hospital terkemuka India

Hospital terkemuka di ibu negara India kembali pulih pada Rabu susulan serangan siber yang melumpuhkan operasinya selama hampir dua minggu.

8. Arab Saudi rekod lebihan belanjawan, lebih AS$27.13 bilion dari unjuran

Arab Saudi merekodkan lebihan belanjawan bagi tahun 2022 sebanyak 102 bilion Riyal (AS$27.13 bilion), iaitu 12 bilion lebih tinggi dari angka yang pernah diramalkan.

9. Singapura kutuk pengeboman di Balai Polis Astaanyar, Bandung

Singapura mengecam pengeboman di Balai Polis Astanaanyar di Bandung, Jawa Barat, pada Rabu yang mengakibatkan kematian seorang anggota polis.

10. Krisis Rusia-Ukraine: Putin beri amaran campur tangan ketenteraan

Presiden Rusia Vladimir Putin memberi amaran keras terhadap campur tangan ketenteraan di Ukraine.