Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 21 Disember 2022.

1. AS sahkan Presiden Ukraine rancang lawat Washington pada Rabu

White House pada Rabu mengesahkan bahawa Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy akan ke Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali sejak konflik Ukraine-Rusia meletus 10 bulan lalu, untuk berunding dengan Presiden Joe Biden dan Ahli Parlimen AS.

2. Lima mayat kapal tentera laut Thailand berjaya ditemui

Lima mayat telah dijumpai dan seorang dilaporkan terselamat selepas sebuah kapal tentera laut karam sejak dua hari lalu di Teluk Thailand, kata tentera laut.

3. Misi mencari 23 kelasi yang hilang diteruskan

Pasukan penyelamat Thailand bertungkus lumus untuk mengesan baki 23 lagi kelasi yang masih hilang dalam insiden kapal tentera laut karam di Teluk Thailand.

4. Jepun gubal rang undang-undang menyokong penggunaan bahan api ammonia, hidrogen

Jepun sedang menggubal rang undang-undang untuk menyokong industri yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan hidrogen dan ammonia sebagai sumber tenaga menjelang 2030, lapor Sputnik.

5. Dua maut susulan gempa bumi kuat di California

Sekurang-kurangnya dua terkorban susulan gempa bumi dengan magnitud 6.4 yang melanda California, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

6. Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter jika...

Elon Musk mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter sebaik sahaja menemui "seorang yang cukup bodoh" untuk menggantinya.

7. Konflik Afghanistan | Taliban gantung akses universiti terhadap wanita

Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan yang dikendalikan Taliban menggantung akses ke universiti kepada pelajar perempuan sehingga diberitahu kelak.

8. Peru isytihar Duta Mexico sebagai persona non grata

Kerajaan Peru mengumumkan pada Selasa bahawa Duta Mexico, Pablo Monroy Conesa kini dianggap "persona non grata" dan diberikan tempoh 72 jam untuk meninggalkan negara itu.

9. Amerika Syarikat | 1.7 trilion Dolar peruntukan kerajaan 2023

Sejumlah 1.7 trilion Dolar diperuntukkan dalam perbelanjaan kerajaan Amerika Syarikat tahun hadapan.

10. Bangladesh lancar vaksin COVID-19 dos keempat

Bangladesh pada Selasa melancarkan pemberian vaksin dos penggalak keempat kepada kumpulan sasaran di Dhaka.