ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 20 Januari 2023.

1. Selepas tiga minggu, mayat budak lelaki dalam lubang dikeluarkan

Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap dalam lubang tiang konkrit di sebuah tapak pembinaan sejak tiga minggu lalu berjaya dikeluarkan.

2. Jepun umum langkah keluar dari pandemik COVID-19

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan rancangan persediaan untuk keluar dari kemelut COVID-19 dan menurunkan status sah jangkitan virus itu agar setara dengan influenza bermusim pada musim bunga.

3. Korea Selatan mansuhkan syarat pemakaian pelitup muka di dalam bangunan mulai 30 Januari

Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo pada Jumaat berkata Korea Selatan merancang menarik balik syarat pemakaian pelitup muka di kebanyakan ruang dalaman mulai 30 Januari selain menamatkan sekatan pandemik terakhirnya susulan trend penurunan berterusan kes harian.

4. Lima papan telur sebagai ganjaran 'Man of the Match'

Perlawanan antara Power Dynamos menentang Nkana berlangsung pada November lalu namun ia baru menjadi topik perbualan selepas gambarnya dimuat naik akaun Twitter Troll Football.

5. Banjir: Dua lelaki hilang dibawa arus di Serbia

Usaha mencari dua mangsa banjir yang hilang di sebuah pekan di Serbia, masih giat dijalankan pihak berkuasa.

6. Lebih sejuta penduduk Perancis sertai demonstrasi bantah reformasi pencen

Kira-kira 1.12 juta rakyat Perancis turun ke jalan raya di seluruh negara pada Khamis untuk membantah rancangan pembaharuan pencen kerajaan.

7. Remaja perempuan didakwa bunuh budak lelaki 11 tahun di Dallas AS

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Dallas, selatan Texas, Amerika Syarikat (AS) didakwa atas tuduhan membunuh seorang budak lelaki berusia 11 tahun.

8. Lima maut, lima cedera dalam kejadian tembakan di Georgia

Sekurang-kurangnya lima orang termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dan lima lagi cedera pada Jumaat dalam satu kejadian tembakan di timur Georgia, menurut pihak berkuasa.

9. Korban runtuhan salji di Tibet meningkat kepada 20 orang

Seramai 20 orang disahkan terbunuh manakala lapan lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan salji di wilayah Tibet selatan China, lapor Agensi Anadolu memetik pihak berkuasa.

10. PM UK Rishi Sunak mohon maaf tak pakai tali pinggang keledar

Perdana Menteri United Kingdom (UK) Rishi Sunak mengaku melanggar undang-undang kerana tidak memakai tali pinggang keledar semasa merakam video di tempat duduk penumpang di bahagian belakang kereta yang sedang bergerak, lapor Agensi Anadolu.