Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 29, 2023 15:59 MYT
Mac 29, 2023 15:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 29 Mac 2023.
Polis Perancis terus bertempur dengan penunjuk perasaan di Paris dan bandar-bandar utama di negara itu pada Selasa sebagai membantah keputusan Presiden Emmanuel Macron meningkatkan umur persaraan.
Jabatan Polis Nashville mengeluarkan video serbuan sewaktu berbalas tembakan dengan penyerang yang disyaki dalang utama dalam insiden tembakan di sebuah sekolah Kristian Nashville.
Parlimen Scotland pada Selasa mengesahkan Humza Yousaf menggantikan Nicola Sturgeon sebagai menteri pertama negara itu.
Sebuah mahkamah di Kuwait mensabit kesalahan terhadap ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low secara 'in absentia' (tanpa kehadirannya) pada Selasa atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peruncit dan syarikat e-dagang global Alibaba mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan berpecah kepada enam entiti berbeza.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak lagi mengesyorkan dos penggalak kepada dewasa yang berisiko rendah dan sederhana, memandangkan manfaatnya tidak signifikan.
Kedutaan Malaysia di sini akan mempercepatkan urusan membawa pulang 12 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
China dan Malaysia perlu terus memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan dan memantapkan ikatan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama, kata Menteri Luar China, Qin Gang.
Persatuan Kebajikan Haji dan Mu'tamer di Mekah, Hadiyah dilaporkan mula melaksanakan pengagihan tahunan juadah iftar dan sahur kepada jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan persekutuan sukan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di bawah bendera neutral kecuali mereka yang menyokong operasi ketenteraan di Ukraine, kata presiden IOC Thomas Bach pada Selasa.