Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 31, 2024 15:59 MYT
Januari 31, 2024 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 31 Januari 2024.
Kanada meneruskan bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza pada Selasa dengan menyediakan dana sebanyak CAN$40 juta (RM141 juta) untuk pelbagai agensi.
Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan beberapa syarat sebelum ia menyambung semula pemberian dana kepada agensi UNRWA.
Keganasan dan kekejaman Zionis Israel berterusan dengan sekurang-kurangnya 11 lagi rakyat Palestin terbunuh termasuk empat kanak-kanak dalam serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di Deir Al-Balah, Gaza pada Selasa.
Hamas sahkan telah menerima dan sedang mengkaji cadangan baharu untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza yang dibentangkan oleh pengantara selepas perbincangan dengan Israel.
Kumpulan pertama seramai 11 kanak-kanak Palestin yang cedera tiba di sini dari Gaza diiringi anggota keluarga untuk menerima rawatan perubatan lanjut di hospital-hospital Itali, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Pasukan khas Israel yang menyamar sebagai orang awam, doktor dan jururawat membunuh tiga lelaki Palestin di Hospital Ibn Sina di bandar Jenin pada pagi Selasa.
Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan isterinya Bushra Bibi, dijatuhi hukuman pejara 14 tahun pada Rabu membabitkan kes hadiah negara atau kes Toshakhana.
Korea Utara menutup misi diplomatik di Hong Kong dan Libya, menurut seorang pegawai kementerian luar, lapor Agensi Berita Yonhap pada Selasa.
Polis Britain menembak mati seorang lelaki yang memakai perisai badan dan membawa busur silang, pisau, pedang serta kapak dalam satu kejadian di tenggara London, lapor Sputnik.
Rantau ASEAN dilanda 28 bencana, termasuk banjir, tanah runtuh dan kejadian berkaitan angin pada minggu keempat tahun 2024.