KUALA LUMPUR: Dakwaan kerajaan lewat atau gagal menyalurkan bantuan kepada pesawah adalah tidak benar malah kerajaan telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) serta mengumumkan kenaikan nilai bantuan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata semalam kerajaan menaikkan IPKP daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025 dan mengumumkan kenaikan nilai bantuan kepada RM300 sehektar.
Advertisement
“Bagi musim 1/2025, bayaran IPKP telah selesai sepenuhnya melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung.
“Bagi musim 2/2025, setakat semalam lebih RM27 juta telah dibayar, manakala kira-kira 30 peratus baki tuntutan sedang dalam proses dan akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata kaedah bayaran IPKP dilaksanakan selepas penanaman diusahakan oleh pesawah dan berbeza dengan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima.
“Dalam setiap musim, ada pesawah yang menanam dan ada yang tidak. Ada yang musim ini mengusahakan 10 hektar, musim berikutnya hanya lapan hektar. Sebab itu tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan supaya wang rakyat diurus secara telus dan tepat.
“Perlu juga faham bahawa musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam. Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai. Jadi bayaran tidak boleh dibuat serentak kepada semua negeri pada masa yang sama,” katanya.
Mohamad berkata selepas tuntutan dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan atau pesawah, pegawai akan turun ke lapangan untuk membuat pengesahan dan bayaran akan diproses sekiranya dokumen lengkap dan tuntutan disahkan.
Selain IPKP, kerajaan juga telah memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun lalu yang menggunakan kaedah tuntutan yang sama.
“Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar, dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan,” katanya.
Mohamad berkata kerajaan akan terus menambah bantuan, memperbaiki sistem dan memastikan kebajikan pesawah terbela selain mengenalpasti dan menambah baik kelemahan dalam proses tuntutan dari semasa ke semasa.
“Ada pesawah dah dulukan duit upah bajak kepada penyedia perkhidmatan dan lepas kerajaan bayar kepada penyedia perkhidmatan, penyedia perkhidmatan ini tidak memulangkan lebihan bayaran kepada pesawah atas pelbagai alasan.
“Isu ini sedang diatasi, nanti pihak kementerian akan umumkan penambahbaikan kaedah tuntutan dan bayaran dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA