Skip to main content

Malaysia

Lelaki ditahan dera anak anjing di Shah Alam

Media Sosial
Ramsay Embol berkata, rakaman video terbabit memaparkan suspek lelaki tempatan berusia awal 20-an bertindak tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan berkenaan. - Gambar tangkap layar video tular

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang bertindak kejam dengan merendam seekor anak anjing ke dalam tangki berisi air di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, Shah Alam ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.14 pagi, Rabu, daripada orang awam selepas video berkenaan tular di aplikasi TikTok.

Advertisement

Menurutnya, rakaman video terbabit memaparkan suspek lelaki tempatan berusia awal 20-an bertindak tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada hari sama kira-kira pukul 3.40 petang di lokasi kejadian.

“Dalam tangkapan itu, tiga ekor anjing turut dirampas dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Must Watch Video