PRESIDEN Iran Hassan Rouhani memberi kata dua kepada seterunya dari Amerika Syarikat Donald Trump. Jangan cari pasal dengan republik itu atau bersedia dengan bahana yang menanti.

“Amerika perlu tahu, berdamai dengan Iran merupakan ibu segala keamanan.

"Berperang dengan Iran pula adalah ibu segala peperangan,” kata Hassan seperti yang dilaporkan agensi berita IRNA.

Hassan berkata demikian dalam ucapannya di hadapan diplomat Iran. Beliau turut mengingatkan Trump untuk berhenti masuk campur urusan negara itu.

“Kamu tidak berhak mengapi-apikan rakyat Iran untuk bertindak mencabar kepentingan dan keselamatan Iran,” tegas Hassan.

Keyataan tegas ini adalah reaksi balas Hassan terhadap laporan mengenai usaha Washington yang didakwa cuba untuk memecah belah kestabilan republik berkenaan.

Iran ketika ini berdepan tekanan demi tekanan oleh Amerika Syarikat selepas Trump membuat keputusan untuk membawa negara Uncle Sam itu keluar dari perjanjian antarabangsa berhubung program nuklear Iran 2015.

Di Washington, sumber dalaman kerajaan Amerika Syarikat mendedahkan pentadbiran Trump ketika ini sedang berusaha untuk memberi tekanan berterusan kepada Iran untuk menghentikan program nuklearnya selain menghentikan sokongan kepada pengganas.