SYDNEY: Pengerusi Eksekutif Apple, Tim Cook menyifatkan langkah Australia memperkenalkan sekatan dan kawalan terhadap penggunaan media sosial sebagai "bertaraf dunia", kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese selepas mengadakan pertemuan dengan beliau di ibu pejabat syarikat teknologi itu di Amerika Syarikat.
Menurut Albanese, Cook meluangkan masa yang panjang untuk berbincang mengenai pelbagai isu, termasuk usaha Australia meningkatkan keselamatan pengguna dalam talian.
"Tim Cook meluangkan banyak masa bersama kami pagi ini. Beliau melihat usaha yang telah kami laksanakan berkaitan media sosial sebagai bertaraf dunia," kata Albanese ketika berucap dari Apple Park di California, yang disiarkan di Australia pada Ahad.
Australia bulan ini mengambil langkah seterusnya dalam agenda keselamatan digitalnya dengan mengemukakan pelan bagi membolehkan pengguna media sosial memilih sendiri kandungan yang ingin dipaparkan dalam suapan mereka.
Pada Disember tahun lalu, Australia menjadi negara pertama yang mengharamkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.
Sejak itu, beberapa kerajaan lain turut mengambil langkah serupa. Suruhanjaya Eropah antara yang terbaharu mencadangkan larangan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Mengulas kenyataan Albanese, jurucakap Apple merujuk kepada hantaran Cook di platform X yang menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Australia itu kerana berpeluang berkongsi beberapa inovasi terbaharu syarikat berkenaan.
Menurut Cook, inovasi tersebut termasuk ciri kawalan yang lebih kukuh dan mudah digunakan bagi membantu memastikan keselamatan kanak-kanak ketika berada dalam talian.
Cook baru-baru ini melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple selepas memegang peranan itu selama 15 tahun.
Perdebatan mengenai keselamatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media digital terus menjadi isu hangat dalam industri teknologi global ketika syarikat-syarikat berlumba membangunkan teknologi yang semakin berkuasa, namun pada masa sama berdepan persoalan mengenai keselamatan serta perlindungan pengguna. - Agensi