WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden "optimis" bahawa usaha Sweden untuk menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan diluluskan, menurut Rumah Putih pada Jumaat.

AS telah "mendorong" dialog antara Stockholm dan Ankara mengenai proses penyertaan Sweden "agar ia terus berlanjutan, lapor Agensi Anadolu.

"Seperti yang telah dikatakan oleh presiden, beliau yakin bahawa kedua-dua negara akan dapat mencapai kata sepakat, dan kami akan dapat mengalu-alukan Sweden sebagai sekutu ke-32 dalam NATO.

"Saya tidak dapat memberikan jangka masa sekarang mengenai bagaimana ia akan berlaku, bila dan dalam keadaan apa, tetapi kenyataan bahawa mereka masih berbincang adalah perkara yang baik," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.

Finland dan Sweden telah memohon keahlian NATO tidak lama selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine pada Februari 2022.

-- BERNAMA