CALON Demokrat Joe Biden meneruskan serangannya terhadap pentadbiran seterunya, Donald Trump, di tengah-tengah kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat sebelum pengundian pada 3 November ini.

Menurut Biden, setelah lebih lapan bulan bergelut dengan isu COVID-19 yang mengorbankan kira-kira 220,000 penduduknya, Trump dakwanya masih belum mempunyai perancangan yang konkrit.

Jelas Biden, tindakan Trump sendiri telah mendorong kepada penularan jangkitan koronavirus itu.

"Kita sudah lebih lapan bulan berdepan pandemik ini dan Presiden masih belum mempunyai sebarang rancangan. Dia telah berputus asa. Dia telah meninggalkan anda. Dia meninggalkan keluarga anda. Dia mengecewakan Amerika.

"Dia cuma mahu berserah dan terima sahaja angka kematian yang semakin menakutkan ini. Akibatnya, begitu ramai rakyat kita merasai kesannya," katanya pada Jumaat, ketika berucap di Wilmington, Delaware.

"Pada bulan Jun, kita mencatatkan kenaikan kes COVID-19, saya minta Trump menyerah, mengaku tewas dengan virus itu. Tetapi, apa yang dia lakukan? Dia berdepan dengan COVID-19 tanpa risau akan ancamannya.

"Dia mengadakan perhimpunan tanpa memakai pelitup muka, tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan akhirnya orang ramai dijangkiti. Dia juga membawa virus itu ke White House dan membahayakan orang ramai, tetapi tetap mengatakan, jangan risau.. jangan risau.. mengenai virus itu."

Sebaliknya, Biden berkata, sekiranya menang, beliau berjanji akan menghubungi setiap Gabenor, bandar serta pejabat tempatan, bagi memenuhi keperluan menentang COVID-19.

Biden turut akan mengusulkan agar Kongres meluluskan agihan perbelanjaan untuk memerangi COVID-19 serta memulihkan ekonomi sebelum 30 Januari 2021, hanya 10 hari selepas mengambil alih pentadbiran, sekiranya dipilih sebagai presiden.