Skip to main content

Dunia

Bintang catur Hungary Polgar tolak tawaran jadi presiden

Hungarian chess grandmaster, Judit Polgár
Judit Polgar berkata, beliau tidak merasakan mempunyai kekuatan untuk memikul tanggungjawab bersejarah menyatukan negara yang berpecah. - X @chess24com
Advertisement

BUDAPEST: Bintang catur Hungary Judit Polgar menolak tawaran untuk menjadi presiden selepas dicalonkan bagi jawatan itu oleh Perdana Menteri Hungary Peter Magyar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polgar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menghargai kesediaan perdana menteri mencalonkannya sebagai calon bebas tanpa berpihak kepada mana-mana parti.

"Pada masa sama, saya tidak merasakan mempunyai kekuatan untuk memikul tanggungjawab bersejarah menyatukan negara yang berpecah ini," tulisnya.

Magyar pada Ahad mencalonkan Polgar, 49, bagi jawatan tertinggi negara itu. Beliau menulis di Facebook bahawa kejayaan Polgar dicapai "bukan kerana hubungan politik atau kenalan, tetapi hasil bakat luar biasanya."

Jawatan ketua negara Hungary kosong sejak seminggu lalu, selepas pindaan perlembagaan dikuatkuasakan yang melucutkan jawatan penyandang terdahulu, Tamas Sulyok. 

Sulyok dilantik semasa pentadbiran perdana menteri terdahulu, Viktor Orban, yang berhaluan populis kanan, namun kedudukannya tidak lagi dapat dipertahankan oleh kerajaan baharu selepas Parti Tisza yang berhaluan kanan tengah pimpinan Magyar mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya pada 12 April.

Speaker Parlimen Agnes Forsthoffer daripada Parti Tisza memangku tugas presiden mulai Isnin. Parlimen perlu memilih ketua negara yang baharu dalam tempoh 30 hari.

Polgar dianggap pemain catur wanita terhebat dunia sepanjang zaman.

Beliau kebanyakannya menyertai kejohanan lelaki dan pernah menewaskan grandmaster seperti Garry Kasparov dan Anatoly Karpov.

Pada Julai 2005, beliau berada di tangga kelapan ranking catur dunia, sekali gus menjadi satu-satunya wanita yang pernah tersenarai dalam kelompok 10 pemain catur terbaik dunia sehingga kini.

Pada 2014, beliau menamatkan kerjaya dalam arena catur peringkat tertinggi.

Sejak itu, beliau menumpukan perhatian kepada yayasannya yang membantu kanak-kanak dan golongan muda mengembangkan kemahiran berfikir secara logik serta menyelesaikan masalah.

Magyar dipercayai tidak membincangkan pencalonan Polgar sebagai presiden dengannya terlebih dahulu. Beliau hanya menyatakan harapan agar Polgar menerima tawaran itu.

Tindakan itu mencetuskan kritikan luar biasa daripada sebahagian penyokong Magyar.

Walaupun kumpulan Ahli Parlimen Parti Tisza menyatakan sokongan sebulat suara terhadap pencalonan Polgar, penyokong parti itu serta beberapa penganalisis politik mengkritik ketiadaan perbahasan awam yang lebih meluas mengenai individu yang wajar mengisi jawatan tertinggi negara.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement