LOS ANGELES: Gabenor California, Gavin Newsom pada Selasa menandatangani dua perintah eksekutif bagi melonggarkan syarat alam sekitar untuk kerja pencegahan banjir serta mewajibkan penilaian risiko Lebuhraya 1 menjelang kemungkinan berlakunya ribut El Nino, lapor Xinhua.
Perintah itu ditandatangani di Taman Negeri Crystal Cove di Newport Beach, selatan California, susulan pengisytiharan darurat di seluruh negeri yang dikeluarkan pada 21 September, menurut pejabat gabenor.
Satu daripada perintah itu membenarkan penggantungan keperluan negeri bagi kerja agensi awam yang layak untuk mengurangkan risiko banjir, tanah runtuh, aliran puing dan hakisan.
Bagaimanapun, kelulusan kelayakan terlebih dahulu serta langkah perlindungan bagi ikan, spesies yang dilindungi dan laluan air tetap diwajibkan.
Perintah kedua ialah menubuhkan Pasukan Petugas Lebuhraya 1 yang akan diselaraskan oleh agensi pengangkutan dan sumber asli negeri bagi membuat persiapan menghadapi El Nino di sepanjang laluan itu serta menangani ancaman iklim jangka panjang.
Lebuhraya 1 merentasi kira-kira 1,056 kilometer di sepanjang pantai Pasifik California dan berulang kali mengalami kejadian tanah runtuh serta penutupan jalan di kawasan Big Sur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Selasa, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran mengenai risiko banjir pesisir pantai yang ketara di daerah Orange dan San Diego di selatan California sehingga Khamis.
Pusat Ramalan Iklim Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS pada 8 Okt menyatakan bahawa terdapat kebarangkalian melebihi 83 peratus bahawa fenomena El Nino yang kuat hingga sangat kuat akan berterusan sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2027.
-- BERNAMA-XINHUA