SHAH ALAM: Muzium Setem Selangor yang siap dibina di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dijadualkan dibuka kepada orang ramai pada awal 2028.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bentuk seni bina unik muzium yang diinspirasikan daripada sampul surat bersetem itu adalah ilham Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menubuhkan sebuah institusi rujukan filateli unggul di negeri itu.
Beliau berkata, bangunan yang dibina pada kos RM7.36 juta itu kini memasuki fasa reka bentuk dalaman dan pengisian bahan pameran.
“Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) kini sedang merangka pengisian dalaman muzium, termasuk mengadakan siri bengkel jalan cerita bersama-sama Persatuan Filateli Malaysia.
“Pembinaan bangunan ini mencerminkan sokongan dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi muzium dan memelihara warisan sejarah Selangor, di samping menjunjung kasih titah Tuanku,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek itu, di sini, pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyaksikan simbolik penyerahan projek daripada Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak kepada Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Aslynda Mohd Dahlan.
Borhan berkata, lima cadangan nama muzium yang disenarai pendek, berserta reka bentuk logo rasminya dipersembahkan kepada Sultan Shafaruddin untuk perkenan baginda.
Pada masa sama, Borhan turut merakamkan penghargaan kepada JKR Selangor selaku agensi pelaksana, perunding, kontraktor serta semua jabatan dan agensi yang bekerjasama sehingga bangunan itu disiapkan walaupun pembinaannya tertangguh ketika pandemik COVID-19.
Sementara itu, Shukri berkata, projek pembinaan muzium berkenaan dilaksanakan secara tender terbuka menerusi kaedah konvensional (perunding) dengan kos keseluruhan lebih RM7.36 juta, dan dibina oleh Empayar Teguh Sdn Bhd.
Beliau berharap muzium itu dapat menjadi medium pendidikan dan penyebaran ilmu selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah, budaya dan warisan yang terkandung dalam setiap koleksi setem.
-- BERNAMA