WASHINGTON: Biro Penjara Persekutuan Amerika Syarikat (BOP) pada Khamis enggan mengulas pertanyaan mengenai keadaan bekas Wanita Pertama Venezuela, Cilia Flores, susulan laporan bahawa beliau mengalami serangan jantung ketika dalam tahanan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Terdahulu pada hari sama, Associated Press melaporkan dengan memetik peguam Flores bahawa beliau mungkin mengalami serangan jantung ringan pada Julai ketika berada dalam tahanan AS dan turut kehilangan lebih 11 kilogram berat badan.
“Atas sebab privasi, keselamatan dan sekuriti, kami tidak mengulas mengenai status penjagaan kesihatan atau rawatan perubatan seseorang tahanan,” kata BOP ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan Flores.
Pada September, peguam bekas wanita pertama itu memohon supaya beliau dibebaskan daripada tahanan dan dikenakan tahanan di rumah sementara menunggu perbicaraan, dengan alasan keadaan jantungnya.
Pada Isnin, anak lelaki bekas Presiden Venezuela Nicolas Maduro, Nicolas Maduro Guerra berkata Flores mengalami masalah jantung dan keadaan di penjara tempat beliau ditahan tidak membolehkan beliau menjalani proses pemulihan daripada pembedahan yang diperlukan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI