INDUSTRI robotik semakin hari semakin berkembang. Populariti robotik ini semakin menjadi selepas Boston Dynamic memperlihatkan robot Spot mereka beberapa tahun lepas.

Kemudian Tesla dengan Optimus dan turut telah melancarkan versi baharu iaitu Optimus Gen 2. Satu lagi syarikat yang cuba mencipta nama adalah Figure dan mereka baru-baru ini telah menandatangani perjanjian bersama BMW.

BMW akan menggunakan humanoid (robot mirip manusia) Figure 01 di kilang South Carolina, Amerika Syarikat.

Kilang ini bertanggungjawab mengeluarkan 1,500 kereta BMW siri-X dan siri-XM secara harian. Kilang ini turut mempunyai 11,000 pekerja dan dijangka bernilai AS$9.6 bilion.

Figure 01 dikatakan akan mengendalikan “tugas-tugas umum” tetapi tidak dinyatakan secara spesifik apakah tugas setiap robot ini.

Figure dan BMW turut tidak mendedahkan berapa unit robot akan digunakan, selain memberitahu yang akan terdapat lima tugasan robot ini boleh dilakukan dan setiap tugasan ini hanya boleh dilakukan secara berperingkat.

Ini kerana Figure 01 adalah robot yang boleh belajar sendiri, selepas membiasakan diri dengan beberapa tugas ia boleh bergerak dengan sendiri.

Tugasan umum ini dikatakan adalah tugasan yang pekerja manusia kerap berhenti. Dalam masa 12 bulan ke 24 bulan, Figure 01 akan dihantar sedikit demi sedikit secara berperingkat.

Dengan sejak kebelakangan ini banyak syarikat mengumumkan pembuangan pekerja, adakah pengambilalihan pekerja robot akan menjadi trend baharu di era AI generatif sekarang? - Amanz