INTERNATIONAL
Bomba berusaha kawal kebakaran hutan di Korea Selatan, angka korban meningkat kepada 27

Pemandangan kebakaran hutan yang berlaku di kawasan pergunungan di Cheongsong, Korea Selatan, 27 Mac 2025. (Foto AP)
SEOUL: Anggota bomba Korea Selatan, dengan bantuan helikopter dan tentera, berusaha mengawal kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu pada Khamis, yang memusnahkan wilayah Gyeongsang Utara di tenggara negara itu, dengan angka korban meningkat kepada 27 orang dan 32 lagi cedera, lapor Agensi Berita Yonhap.
Sejak Jumaat lalu, gelombang kebakaran hutan melanda kawasan itu, membakar kira-kira 36,000 hektar hutan, menurut data kerajaan.
Jumlah itu melebihi hampir 13,000 hektar daripada 23,794 hektar yang musnah dalam kebakaran hutan di pantai timur pada 2000, yang ketika itu merupakan yang terburuk dalam sejarah negara.
Kira-kira 37,000 penduduk terpaksa dipindahkan, termasuk 29,911 orang di kawasan Uiseong dan Andong di Wilayah Gyeongsang Utara.Terdahulu, Pemangku Presiden, Han Duck-soo mengarahkan Pemangku Menteri Dalam Negeri, Ko Ki-dong, untuk kekal di Wilayah Gyeongsang Utara dan menyelia usaha bantuan kepada mangsa kebakaran sehingga kebakaran berjaya dikawal.
"Kebimbangan utama adalah ramai mangsa terdiri daripada warga emas, termasuk pesakit di hospital penjagaan," kata Han.
"Tolong beri perhatian khusus terhadap kesihatan dan keselamatan mangsa di lapangan, serta wujudkan sistem sokongan yang cekap agar anggota pemadam kebakaran dan sukarelawan tidak keletihan," katanya.
Pada hari yang sama, Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran hutan di Korea, dengan harapan mereka segera pulih dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Duta Jepun ke Korea Selatan, Koichi Mizushima, turut menyampaikan mesej simpati kepada mangsa.
Di Wilayah Gyeongsang Utara, usaha intensif sedang dijalankan untuk mengekang kebakaran hutan.
Pihak berkuasa mengerahkan helikopter, trak bomba dan anggota bomba bagi memadam kebakaran yang bermula di Daerah Uiseong, kira-kira 180 kilometer tenggara Seoul, pada Sabtu dan merebak pantas akibat angin kencang.
Menurut pegawai kaji cuaca, sekitar 5mm hujan dijangka turun di Wilayah Gyeongsang Utara.
Kebakaran utama di Uiseong, yang bergerak pada kelajuan sehingga 8 kilometer sejam, merebak ke arah timur laut dan sampai ke kawasan pantai di sepanjang Laut Timur.
Bagaimanapun, kebakaran besar di Ulju menunjukkan tanda-tanda akan dipadam sepenuhnya, kata Datuk Bandar Ulsan, Kim Doo-kyum, kepada pemberita.
Bekalan air di beberapa kawasan di Andong terputus untuk hari kedua berturut-turut, menyebabkan kerajaan bandar itu mengedarkan air botol dan bantuan kecemasan kepada penduduk.
Hampir 2,500 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik, dengan pegawai masih berusaha memulihkan bekalan kepada 177 rumah yang terjejas.
Daerah berdekatan, Yeongdeok, turut mengalami gangguan bekalan air dan elektrik selepas sebuah loji rawatan air terbakar, sebuah lagi loji kehilangan bekalan elektrik, dan sebuah pencawang kuasa terpaksa menghentikan operasi.
Perkhidmatan komunikasi di daerah itu juga terputus sepanjang malam sebelum dipulihkan awal pagi Khamis.
Kerajaan mengisytiharkan kawasan yang paling terjejas di tenggara negara itu sebagai zon bencana bagi memfokuskan sumber dan mempercepatkan usaha pemulihan.
Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan Sancheong di Wilayah Gyeongsang Selatan; Ulju di Ulsan; Uiseong di Wilayah Gyeongsang Utara; dan Hadong di Wilayah Gyeongsang Selatan sebagai zon bencana khas.
Pada Khamis, empat lagi kawasan di wilayah tenggara iaitu Andong, Cheongsong, Yeongyang dan Yeongdeok di Wilayah Gyeongsang Utara dimasukkan ke dalam senarai itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami