Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Persekutuan peruntuk RM60 juta untuk program basmi kemiskinan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) menyampaikan peruntukan projek penyelenggaraan prasarana sekolah tahfiz kepada wakil Madrasah Ribath Fatimah Az Zahra, Yusri Kasmidim (dua, kanan) pada Majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu hari ini.  Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (kanan) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (
Perdana Menteri (tiga, kanan) menyampaikan peruntukan projek penyelenggaraan prasarana sekolah tahfiz kepada wakil Madrasah Ribath Fatimah Az Zahra pada Majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu hari ini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta khusus bagi program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program itu meliputi usaha peningkatan pendapatan rakyat dan pembaikan perumahan di negeri berkenaan.

Advertisement

“Pelaksanaan program ini akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Terengganu di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu di sini hari ini.

Sebanyak 1,500 pelajar, guru dan penggiat sekolah pondok dan tahfiz di Terengganu hadir pada majlis itu. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 sekolah tahfiz di Terengganu bagi tahun ini.

Sementara itu, Perdana Menteri mahu sekolah tahfiz dan pondok di seluruh negara untuk menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata ini penting bagi memastikan institusi pendidikan berkenaan tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.

Anwar juga menekankan kepentingan penguasaan bahasa lain selain Bahasa Arab dan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah pondok dan tahfiz.

 -- BERNAMA

Must Watch Video