LONDON: Rakyat Britain diberi amaran supaya berwaspada dengan 'hujan darah' ketika satu lagi ribut diramalkan melanda negara itu bermula Isnin.

Ramalan itu dibuat Nick Finnis di Netweather selepas Ribut Pierrick yang membawa kepulan awan tebal dan angin kencang berkelajuan sehingga 128 kilometer sejam ke utara Perancis pada minggu ini.

"Pierrick boleh menyebabkan taburan habuk atau zarah berwarna merah pada harta benda penduduk. Fenomena itu juga boleh menyebabkan hujan dalam warna kecoklatan yang biasanya dibawa dari Sahara.

"Kami seperti 'dihukum Tuhan cuaca' kerana muncul lagi ancaman ribut baharu selepas Kathleen," ujarnya sambil menambah penduduk perlu bersiap sedia menghadapi cuaca buruk untuk tempoh beberapa hari akan datang.

Pejabat Met juga memberitahu orang ramai supaya tidak terkejut apabila melihat 'hujan darah' berikutan sistem tekanan rendah boleh menyebabkan keadaan bercampur aduk.

"Jika anda melihat tingkap rumah anda kotor selepas hujan, sudah semestinya ia disebabkan mendapan habuk Sahara," kata peramal cuaca, Marco Petagna.

Difahamkan, Kathleen yang melanda selama beberapa hari dijangka 'bergerak keluar' dari negara itu dan akan 'diambil alih' oleh Pierrick. - Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian