PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman penjara sebulan dikenakan ke atas seorang bekas penimbang tara bertauliah kerana menipu pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian selepas peguam Alex De Silva yang mewakili Yusof Holmes Abdullah, 78, selaku perayu memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonannya untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan.

Alex berkata ini berikutan pihaknya telah menghantar representasi untuk mengetepikan hukuman tersebut kepada Jabatan Peguam Negara pada Februari lepas.

"Perayu menarik balik rayuan terhadap sabitan, responden (pendakwa raya) menarik balik rayuan terhadap hukuman memandangkan Jabatan Peguam Negara membenarkan representasi anak guam untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan dan denda RM50,000 adalah kekal," katanya dan menambah bahawa perayu telah membayar denda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali mengesahkan perkara berkenaan.

Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Ghazali Cha berkata setelah mendengar hujahan peguam dan pendakwa raya serta keputusan Jabatan Peguam Negara yang membenarkan permohonan perayu untuk mengetepikan hukuman penjara, mahkamah memutuskan sabitan terhadap perayu kekal, hukuman penjara diketepikan dan denda RM50,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

"Rayuan perayu terhadap sabitan dan rayuan silang responden terhadap hukuman ditarik balik," kata hakim.

Pada 5 Jan 2017, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM20,000 ke atas Yusof Holmes dan mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan denda itu sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusannya pada 18 Julai 2019, memerintahkan hukuman penjara ke atas Yusof Holmes dikurangkan kepada sebulan dan denda dinaikkan kepada RM50,000.

Pada 25 Julai 2013, Yusof Holmes, rakyat Britain yang memiliki status penduduk tetap Malaysia didakwa menipu pengarah itu dengan memperdaya KLRCA untuk mempercayai bahawa 'Statement of Independence' bertarikh 18 Jan 2010 yang ditandatanganinya adalah benar.

Perbuatan itu mendorong pengarah KLRCA melantiknya sebagai penimbang tara dalam pertikaian antara JMR Construction Sdn Bhd dan Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau, sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui perakuan itu tidak benar.

Yusof Holmes didakwa melakukan kesalahan itu di KLRCA di sini pada 25 Jan 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

-- BERNAMA