NEBRASKA: Seekor buaya albino berusia 36 tahun yang jarang dijumpai di dunia mengalami 'nasib malang' apabila terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan 70 keping duit syiling dalam perutnnya.

Buaya yang diberi nama Thibodaux, merupakan salah seekor daripada 10 ekor buaya yang ditempatkan dalam Zoo dan Akuarium Henry Doorly di Nebraska yang terpaksa dibedah selepas pihak zoo mengesan sejumlah logam dalam perut haiwan itu.

Demi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya melemparkan duit syiling dalam persekitaran akuatik, pihak zoo melakukan pembedahan buaya itu dengan membenarkan pengunjung melihatnya menerusi rakaman video.

Malah ia juga sebagai prosedur untuk mendidik pelawat zoo supaya melihat sendiri kesan bahaya apabila membuang benda asing ke dalam habitat haiwan tersebut.

Berikutan kejayaan membuang kira-kira 70 keping syiling dari perut buaya itu, pegawai zoo mengeluarkan peringatan kepada pelawat supaya tidak lagi membuat perkara sama.

Doktor haiwan, Christina Ploog yang mengetuai pembedahan, menjelaskan bahawa semasa prosedur pembedahan dilakukan, Thibodaux telah dibius dan diintubasi bagi memudahkan kerja mengeluarkan duit tersebut.

"Sekeping plastik hitam diletakkan bagi melindungi mulutnya dan satu alat seperti pengepit dilengkapi kamera digunakan untuk mengeluarkan syiling itu," ujarnya.

Selepas beberapa jam pembedahan selesai, pegawai zoo memaklumkan bahawa Thibodaux semakin pulih dan gambar sinaran X menunjukkan tiada lagi logam dijumpai dalam perut buaya malang itu. - Sinar Harian memetik agensi