KUALA LUMPUR : Selebriti terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari merakamkan ucapan takziah susulan pemergian anak Gabenor Indonesia, Emmeril Kahn Mumtadz atau lebih dikenali dengan pangilan Eril yang dikhuatiri lemas di Sungai Aere, Switzerland. 

Menerusi hantaran di akaun Instagramnya, Bunga merakamkan ucapan takziah itu terhadap seluruh keluarga Allahyarham.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh keluarga khususnya buat bapak Ridwan Kamil dan ibu Praratya. Semoga seluruh keluarga tabah dalam berdepan dengan ujian berat ini,” tulisnya di hantaran tersebut.

Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan, Eril dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang di sungai terpanjang di Switzerland itu. 

Menurut pihak polis, Eril dipercayai hilang pada pagi Khamis sewaktu sedang berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra dan teman mereka di sungai berkenaan, yang panjangnya melintasi tiga wilayah Bern, Solothurn dan Aargau serta empat danau iaitu Danau Brienz, Thun, Wohlen dan Biel.

Anak sulung kepada Gabenor Jawa Barat itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institusi pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.

Sejurus selepas berita kehilangan Eril diuar-uarkan media tempatan dan Indonesia, Ridwan serta isterinya, Atalia Praratya 'berkampung' di Swtizerland untuk membantu usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR).