QUITO: Dua calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya tempatan pada 29 Nov maut ditembak dalam serangan bersenjata di Huaquillas, wilayah pesisir pantai El Oro di Ecuador pada malam Isnin, lapor Xinhua.
Serangan itu turut meragut nyawa seorang wanita, menurut laporan media tempatan pada Selasa yang memetik laporan polis.
Kedua-dua calon dikenal pasti sebagai bekas Datuk Bandar Huaquillas, Ronald Farfan yang berhasrat merebut kembali jawatan itu, dan calon ahli majlis perbandaran, Cristhian Rugel di kawasan pentadbiran sama.
Serangan berlaku di kawasan kejiranan Los Israelitas ketika kedua-dua calon menghadiri perhimpunan politik bersama penyokong menjelang pilihan raya berkenaan.
Polis sedang menyiasat beberapa kemungkinan motif serangan termasuk ancaman dan kegiatan pemerasan oleh kumpulan penjenayah.
Menurut angka rasmi yang dipetik media tempatan, El Oro merekodkan hampir 1,000 kes pembunuhan setakat tahun ini, meningkat kira-kira 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Rakyat Ecuador dijadual keluar mengundi pada 29 Nov bagi memilih ketua dan timbalan ketua pentadbiran wilayah, datuk bandar, ahli majlis perbandaran dan luar bandar serta anggota lembaga pentadbiran kawasan luar bandar.
-- BERNAMA-XINHUA