KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengajak warga perkhidmatan awam mengamalkan budaya membaca bagi mengelakkan risiko masyarakat pascaliterasi, apabila amalan membaca semakin digantikan dengan budaya menatal (scroll) skrin peranti.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata meskipun teknologi dan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan, kemudahan itu tidak seharusnya menghakis keupayaan individu untuk memberikan tumpuan, membuat penilaian dan berfikir secara mendalam.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak warga perkhidmatan awam membaca dan menghayati buku The New Dark Ages karya James Marriott yang mengingatkan tentang risiko masyarakat pascaliterasi.
"Dalam era AI, membaca, berfikir secara analitikal dan mencabar minda menjadi semakin penting.
"Membaca ialah senaman minda yang melatih daya tumpuan, membuka ruang untuk menilai pandangan berbeza dan menguji kefahaman sendiri," katanya.
Beliau berkata semakin canggih teknologi digunakan, semakin penting bagi setiap individu membina pemikiran yang tajam dan keupayaan berfikir secara kritis.
-- BERNAMA